Bicara kes saman kerajaan Malaysia terhadap NFC bersambung 24 Januari

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - National Feedlot Corporation (NFC) akan memanggil empat lagi saksi dalam perbicaraan kes saman Kerajaan Malaysia terhadapnya yang menuntut syarikat itu membayar balik pinjaman dan faedah berjumlah RM253.6 juta berhubung projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.

Peguam, Chong Kah Yee, yang mewakili NFC, ketika dihubungi berkata, saksi defendan iaitu pakar juruaudit Andrew Heng telah selesai memberi keterangan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Anand Ponnudurai pada 17 Mac lepas.

"Pada prosiding pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) hari ini (Isnin), mahkamah menetapkan 24 hingga 28 Jan tahun depan untuk menyambung perbicaraan dan pihak kami akan mengemukakan empat lagi saksi untuk memberi keterangan," katanya.

Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md Arshad, yang mewakili kerajaan, pula berkata, perbicaraan kes itu bermula 13 Jan tahun lepas dan pihak plaintif telah menutup kesnya pada 17 Mac setelah memanggil tujuh saksi.

Syarikat NFC diuruskan oleh suami serta tiga anak bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Dalam tuntutannya, kerajaan menamakan NFC, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah sebagai defendan pertama hingga kelima.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah enam syarikat yang dikawal oleh keluarga Mohamad Salleh iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Real Food Corporation Sdn Bhd, Meatworks Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn Bhd.

Kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan NFC pada 6 Dis, 2007 bagi pinjaman berjumlah RM250 juta, sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi Pusat Fidlot Nasional, selaras dengan dasar untuk membangun serta meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.

Artikel Berkaitan:

Pinjaman itu disalurkan oleh kerajaan kepada NFC dalam tiga peringkat dan keluarga Mohamad Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Januari 2008 hingga 3 Januari 2011.

Daripada RM180.51 juta yang dikeluarkan, hanya RM8.32 juta dibayar secara terus kepada pihak ketiga untuk menjalankan projek Pusat Fidlot Nasional manakala baki dana yang dikeluarkan telah dipindahkan ke akaun NFC yang lain dan sejumlah RM118.04 juta daripada baki itu didakwa telah disalahgunakan.

Antaranya ialah dana sebanyak RM9.76 juta yang didakwa digunakan untuk membeli dua unit kediaman di One Menerung Residence oleh defendan keenam iaitu National Meat & Livestock Corp dan pada masa sama, sebanyak RM300,000 dipercayai digunakan untuk membuat bayaran kepada seorang individu bernama Shamsubarin Ismail bagi tujuan yang tidak didedahkan manakala RM1.8 juta lagi dibayar kepada individu sama.

Keluarga Mohamad Salleh juga didakwa menggunakan dana yang dipinjam daripada kerajaan itu untuk membayar sewa bulanan RM28,000 bagi satu lot pejabat di Solaris Mont Kiara dan membeli dua bidang tanah di Putrajaya, membuat bayaran kepada dua firma guaman serta membeli sebuah rumah kedai empat tingkat di Solaris Mont Kiara. - Bernama