Rumah pusaka hangus, dua beranak tinggal sehelai sepinggang

Rogayah menunjukkan rumahnya di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah yang terbakar pada Isnin.
Rogayah menunjukkan rumahnya di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah yang terbakar pada Isnin.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang ibu tunggal sedih apabila rumah pusaka yang didiami bersama anak tunggalnya di Kampung Baru, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah di sini musnah dalam kebakaran pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Zainun Ismail, 58, sedang menggoreng cekodok untuk hidangan sarapan pagi, manakala anaknya berusia 37 tahun berada di bahagian depan rumah.

Zainun berkata, mereka kemudian dikejutkan dengan satu bunyi letupan kecil sebelum beberapa minit kemudian anak saudaranya bergegas datang dan memapahnya keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

"Saya ingatkan api sampah yang kecil. Anak saya cuba memadamkan api itu guna air paip, tapi tidak berjaya sebelum saya dibawa keluar rumah.

"Mujur anak saudara saya sedar. Lagipun saya sukar bergerak dan terpaksa menggunakan tongkat disebabkan mengalami penyakit kencing manis kronik," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Dia yang bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, biarpun tinggal sehelai sepinggang namun reda dengan kejadian itu.

Malah, Zainun berharap permohonannya untuk membina rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin sejak dua tahun lalu akan diterima selepas ini.

Sementara itu, kakak sepupu mangsa yang juga saksi kejadian, Rogayah Kamarudin, 59, berkata, dia terkejut melihat rumah mangsa yang terletak bersebelahan rumahnya itu terbakar.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kejadian berlaku terlalu pantas.

"Disebabkan bahagian depan rumah diperbuat daripada kayu, ditambah dengan angin kuat menyebabkan api begitu marak dan cepat merebak. Orang-orang kampung juga datang membantu memadamkan kebakaran namun tidak berjaya," katanya.

Dalam pada itu, jurucakap bomba dan penyelamat berkata, sebanyak tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah, Alor Gajah dan Tangga Batu dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

"Dengan kekuatan seramai 20 anggota, kita melakukan operasi memadamkan kebakaran yang telah merebak kira-kira 50 peratus. Ketika kejadian, api sedang marak.

"Kebakaran berjaya dikawal dan api dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.39 pagi," katanya.