Wabak LSD tidak jejas bekalan lembu korban

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Penyakit kulit kental (LSD) yang menyerang lembu ternakan di Selangor berada dalam keadaan terkawal dan tidak menjejaskan bekalan haiwan tersebut menjelang Hari Raya Aidiladha.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, walaupun beberapa kes wabak LSD dikesan di beberapa kawasan di negeri ini pada awal Jun lalu, namun lembu-lembu tersebut sudah diasingkan serta-merta untuk mengelakkan penularan virus tersebut.

Walaupun begitu, beliau menyarankan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk meningkatkan kekerapan pantauan ke ladang-ladang lembu di negeri ini untuk memastikan tiada kes jangkitan penyakit berkenaan berlaku.

“Kita masih perlu memantau keadaan lembu-lembu tersebut, namun setakat ini virus tersebut tidak merebak lagi dan masih terkawal.

“Ia juga tidak akan mengganggu bekalan lembu menjelang Aidiladha nanti, tapi langkah penjagaan tambahan perlu diambil untuk mengelakkan ia merebak,” katanya ketika sidang akhbar setelah selesai melawat kawasan pembinaan lebuh raya di Sungai Buloh-Kota Damansara di sini pada Isnin.

Pada awal Jun lalu, Sinar Harian melaporkan wabak LSD mula dikesan di sekitar Selangor iaitu di Gombak, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

Penyakit LSD paling awal dikesan di Bagai Serai, Perak pada awal Jun lalu apabila menjangkiti lembu dan kerbau di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan: