Dua lelaki ceroboh kilang untuk curi kabel diberkas

Ahmad Ridhwan (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas daripada penjenayah dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Telok Panglima Garang pada Jumaat.
Ahmad Ridhwan (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas daripada penjenayah dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Telok Panglima Garang pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LANGAT - Dua lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dengan kes ceroboh dan mencuri kabel di sebuah kilang terbengkalai di Kawasan Perindustrian Telok Panglima Garang di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 4.35 petang.

"Sepasukan pegawai dan anggota polis pergi ke lokasi kejadian. Bagaimanapun, dua suspek berusia 28 dan 36 tahun cuba melarikan diri.

"Salah seorang daripada mereka bertindak terjun dari tingkat tiga kilang tersebut mengakibatkan kedua-dua kakinya patah," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Ahmad Ridhwan berkata, ketika serbuan itu, seorang lagi suspek ditemui bersembunyi di bawah meja di tingkat tiga kilang tersebut.

"Kita turut menemui peralatan memecah rumah dan curi kabel seperti gergaji besi, pemotong wayar, pencabut paku, player grip, tukul kuku kambing, pisau, gunting serta pemutar skru," katanya.

Beliau berkata, dua penjenayah itu menceroboh kilang tersebut untuk mencuri kabel dan wayar elektrik yang mengandungi tembaga selain mencuri perabot.

"Pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang suspek mempunyai lima rekod jenayah berkaitan kes pecah rumah dan curi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

"Suspek yang cedera dan ditahan di wad Hospital Banting telah diberikan jamin polis setelah keterangannya diambil.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan 379/511 Kanun Keseksaan," katanya.