X

Kindly register in order to view this article
!

Bapa dijangkiti Covid-19 berjuang untuk sembuh demi keluarga

Saharuddin bersama isterinya, Kamaliah Zakaria, 59, berbual bersama anaknya, Dr Ahmad Ashraf Saharuddin menerusi panggilan video di rumah mereka di Larkin Jaya pada Isnin. 

- Foto Bernama
A
A

JOHOR BAHRU - Menyaksikan sendiri kematian pesakit akibat Covid-19 ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) membangkit kekuatan Saharuddin Hassan yang turut dijangkiti virus membawa maut itu untuk berjuang sehingga sembuh.

Pengedar buku berusia 60 tahun itu berdepan risiko tinggi selepas dijangkiti ekoran mempunyai penyakit kencing manis namun tekad untuk kembali sembuh demi keluarga apatah lagi selepas mengetahui isteri dan tiga anaknya serta menantu lelaki dan seorang cucu turut dijangkiti virus itu.

Warga emas itu disahkan positif pada 15 Mei lepas, hari ketiga Syawal disusuli ahli keluarga dan seorang pekerjanya.

"Beberapa hari selepas saya dimasukkan ke HSA, isteri pula dimasukkan ke hospital sama membuatkan saya bertambah risau dan semangat untuk cepat sembuh makin kuat, apatah lagi selepas menyaksikan kematian akibat Covid-19 ketika menerima rawatan.

“Masa tu saya tekad untuk sembuh, tak terima sebarang panggilan atau panggilan video sebab mahu betul-betul berehat. Hari-hari terima kata-kata semangat daripada ahli keluarga menerusi group WhatsApp. Pada ketika itu, saya kata kita mesti kuat,” katanya di sini pada Isnin.

Bapa kepada empat orang anak itu juga berkata, dia turut mengambil inisiatif membawa alat oximeter bertujuan memantau tahap oksigennya sendiri bagi setiap tiga hingga empat jam.

“Pada ketika itu, saya fikir nak cepat sembuh. Hari-hari buat senaman dan latihan pernafasan (di hospital) untuk menaikkan kadar oksigen dalam darah. Saya nak galakkan dan tunjukkan pada ahli keluarga terutama anak-anak saya supaya kita sama-sama kuat semangat untuk cepat sembuh,” katanya.

Ketika itu, kesemua mereka terpaksa berpisah untuk menerima rawatan dengan isteri dan cucu sulungnya melalui tempoh kuarantin berdua di rumah, anak sulungnya bersama menantu dan dua anak kecil mereka dikuarantin di rumah mereka di Senai, anak keduanya dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan anak ketiganya di Hospital Permai.

Keazaman Saharuddin untuk sembuh membuahkan hasil kerana selepas 12 hari dirawat, dia menerima khabar gembira apabila dibenarkan pulang ke rumah pada 1 Jun dan selepas beberapa hari kemudian, isteri dan dua anaknya juga disahkan sembuh.

Meskipun sudah 19 hari sembuh daripada virus itu, Saharuddin dan isteri tetap dengan rutin harian mereka iaitu memeriksa tahap oksigen dalam badan dengan menggunakan oximeter dan membuat senaman pernafasan, yang menurutnya penting dan menyumbang kepada faktor kesembuhannya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!