Sabah lancar Kempen Sifar Pandemik Covid-19

Hajiji (kiri) melancarkan Kempen Sifar Pandemik Covid-19 di Sabah secara maya bersama Dr Adham di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu.
Hajiji (kiri) melancarkan Kempen Sifar Pandemik Covid-19 di Sabah secara maya bersama Dr Adham di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah yakin usaha menyasarkan 30,000 penerima vaksin setiap hari akan tercapai menerusi Kempen Sifar Pandemik Covid-19 yang dilancarkan pada Isnin.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sasaran itu akan tercapai dengan pembukaan lebih baik Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan bantuan daripada pelbagai pihak.

Pada masa sama katanya, semua Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) di seluruh negeri diarah menggerakkan proses pendaftaran secara agresif di semua daerah.

"Ini merupakan inisiatif bersama antara kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya selepas melancarkan Kempen Sifar Pandemik Covid-19 di Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), pada Isnin.

Pelancaran kempen yang diadakan secara maya itu disertai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmy Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi.

Tambah Hajiji lagi, Malaysia kini menghadapi gelombang ketiga penularan pandemik ini menyebabkan kerajaan tiada pilihan selain melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara.

Justeru, beliau berharap masyarakat terus mengamalkan norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam rutin harian selama ada kes yang aktif di negara kita

Selasa lalu, Hajiji mengumumkan sebanyak 16 PPV baharu dibuka bulan ini sebagai tambahan kepada 95 PPV yang kini beroperasi bagi membantu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang mula diperluas kepada penduduk Sabah berusia 18 tahun ke atas.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap Sabah dapat mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini di mana kerajaan negeri akan memperhebatkan usaha dan strategi bagi memastikan 2.9 juta penduduk menerima suntikan vaksin.