Syarat ketat BSH bukan untuk bebankan rakyat

Amiruddin (duduk,tengah) bergambar bersama sebahagian peserta yang menyertai program Fun Ride.
Amiruddin (duduk,tengah) bergambar bersama sebahagian peserta yang menyertai program Fun Ride.
A
A
A

JITRA - Kerajaan menegaskan syarat permohonan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang ketat bukanlah untuk membebankan rakyat, sebaliknya ia merupakan suatu proses pemutihan untuk memastikan pemberian bantuan berjalan dengan adil.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, proses berkenaan juga untuk mengelakkan sesetengah pihak mengambil kesempatan mendapatkan BSH.

Katanya, mereka juga cuba mengelakkan perkara sama yang berlaku dalam proses Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) kerajaan dahulu berulang pada kali ini.

"Ini kerana kita mendapati ada pemohon yang tidak layak ketika proses BRIM sebelum ini terpilih untuk menerima bantuan itu.

"Bagaimanapun, pemutihan ini bukan untuk menidakkan hak rakyat, bagi pemohon yang layak, kita akan bagi, tapi yang tak layak kita akan keluarkan dari senarai penerima," katanya ketika ditemui di program Fun Ride di Taman Pulasan, di sini.

Menurutnya, sebagai kerajaan yang sentiasa mendengar rintihan rakyat, kementerian akan mengkaji semula proses tertentu sekiranya ia membebankan rakyat.

"Jika ia sampai ke tahap menyusahkan rakyat saya fikir kita ada pilihan lain untuk kita mudahkan mereka yang memohon terutamanya warga emas," katanya.

Amiruddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata, bagi memudahkan proses permohonan melibatkan warga emas, beliau berharap pemimpin setempat juga dapat menghulurkan pertolongan.

Artikel Berkaitan:

"Kita ada pelbagai institusi masyarakat seperti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) persatuan penduduk, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan lain-lain lagi. Mereka ini lebih arif dan boleh membantu warga emas melengkapkan permohonan BSH,"katanya.

Terdahulu, Amiruddin bersama hampir 100 ahli KRT Taman Pulasan beriadah sambil mengayuh basikal sepanjang 30 kilometer di sekitar kawasan berkenaan.