X

Kindly register in order to view this article
!

Mesir sedia bantu salurkan bantuan Malaysia ke Gaza

Hishammuddin ketika mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar Mesir, Sameh Hassan Shoukry di Kaherah. - Foto FB Hishammuddin Tun Hussein
A
A

KUALA LUMPUR - Mesir dan Malaysia akan bekerjasama menyalurkan bantuan kemanusiaan dan perubatan termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan Malaysia kepada penduduk Palestin di Gaza menerusi pintu sempadan Rafah.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara berkenaan dibincangkan dengan rakan sejawatan dari Mesir, Sameh Hassan Shoukry di Kaherah sewaktu lawatan kerja beliau ke negara Afrika Utara itu pada Ahad.

"Tumpuan ketika ini adalah menyediakan bantuan kemanusiaan tanpa halangan dan memberi tumpuan kepada pembinaan semula Gaza," katanya ketika berucap pada sidang akhbar bersama Shoukry dan kenyataan berkenaan dikeluarkan kepada media di sini pada Isnin.

Hishammuddin memuji tindak balas pantas Mesir terhadap keadaan di Gaza, termasuk membuka pintu sempadan di Rafah bagi membolehkan rakyat Palestin yang cedera dirawat di hospital Mesir, menghantar bantuan kemanusiaan dan perubatan serta melaksanakan inisiatif membina semula Gaza menerusi peruntukan sebanyak AS$500 juta.

Meskipun isu Palestin sudah berlarutan lebih 70 tahun, serangan terbaru selama 11 hari kali ini dilihat berbeza dengan sebelumnya kerana mencetuskan lebih banyak kesedaran dan perhatian dalam kalangan orang awam, termasuk di Amerika Syarikat dan Eropah.

“... kita perlu menggunakan peluang ini untuk meningkat dan membangkitkan lebih banyak kesedaran mengenai isu Palestin kepada masyarakat dunia," katanya.

Hishammuddin turut menyuarakan penghargaan ikhlas Malaysia terhadap kepimpinan Mesir terutama usaha negara itu dengan pantas menaja perjanjian gencatan senjata antara Palestin dan Israel di Gaza, yang berkuat kuasa pada 21 Mei 2021.

“Gencatan senjata itu amat penting bagi menghentikan keganasan dan kekerasan ke atas penduduk Palestin di Gaza, ekoran serangan tentera Isreal," katanya.

Hishammuddin kini dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Mesir bermula Ahad dan ia adalah kunjungan pertama beliau ke negara itu sejak dilantik Menteri Luar pada Mac 2020. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!