Harga durian tidak merudum tetapi lebih berpatutan musim ini: FAMA

Gambar kecil: Mohamad Mustahapa Awang
Gambar kecil: Mohamad Mustahapa Awang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menafikan berlaku lambakan durian hingga menyebabkan harga buah bermusim itu merudum ketika ini.

Timbalan Ketua Pengarah Operasinya, Mohamad Mustahapa Awang berkata, sebaliknya, hasil daripada pengumpulan maklumat harga yang dilakukan pihaknya mendapati harga yang ditawarkan pada kadar berpatutan berbanding sebelum ini.

Beliau berkata, keadaan itu membolehkan rakyat Malaysia berpeluang menikmati durian pada harga yang lebih berpatutan pada musim ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Kita dapati ketika ini bukan harga (durian) jatuh merudum seperti didakwa tetapi ia turun kepada harga yang lebih berpatutan kepada pengguna di seluruh negara yang mana petani juga mendapat harga yang munasabah di peringkat ladang.

"Kalau diikutkan harga yang ditawarkan kepada pengguna ketika ini masih lagi mahal (bagi durian berkualiti tinggi) tetapi sebenarnya mereka boleh membuat pilihan untuk beli durian yang ikut kemampuan mereka.

"Secara keseluruhan dari segi FAMA, kita tidak nampak lebihan bekalan (berlaku ketika ini) sebab kita ada inisiatif yang boleh diatur sekiranya ada lebihan hasil," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan peniaga di sekitar Selangor bahawa harga durian mengalami kejatuhan susulan berlaku lambakan raja buah itu dalam tempoh PKP ketika ini.

Jelasnya, berdasarkan harga purata durian terpilih di Malaysia bermula Mei 2020 hingga Mei lalu mendapati, ia tidak jauh berbeza dengan harga yang ditawarkan pada minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pengumpulan maklumat harga bagi tempoh 14 hingga 20 Jun iaitu paling terbaharu merekodkan harga runcit Musang King (D197) dijual antara RM50 (gred B) hingga RM70 (gred A), manakala Mei lalu dijual dengan harga RM48.

"Bagi harga durian Kampung pula antara RM11 hingga RM20 pada minggu lalu dan RM6 hingga RM13 bagi harga purata durian terpilih bermula Mei tahun lalu hingga Mei lepas," katanya.

Mohamad Mustahapa menunjukkan harga purata durian hasil daripada pengumpulan maklumat harga yang dilakukan pegawainya.
Mohamad Mustahapa menunjukkan harga purata durian hasil daripada pengumpulan maklumat harga yang dilakukan pegawainya.

Katanya, buat masa ini Johor menjadi pembekal utama durian khususnya bagi pasaran Selangor iaitu sebanyak 65 peratus diikuti Negeri Sembilan 25 peratus dan Pulau Pinang 10 peratus.

"Biasanya musim durian ini berlaku secara berperingkat mengikut negeri iaitu bermula Jun hingga September setiap tahun dengan durian dari Raub, Pahang antara yang paling mendapat permintaan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu lambakan hasil, Mohamad Mustahapa berkata, FAMA telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan 12 pusat memproses pelbagai jenis buah khususnya buah-buahan bermusim di seluruh Semenanjung.

"Selain itu, kita juga menggalakkan pengusaha atau peniaga untuk gunakan media sosial atau internet untuk jual produk seiring dengan norma baharu susulan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia ketika ini.

"Paling utama adalah usahawan itu perlu kreatif dan tidak bergantung pada satu bentuk jualan semata-mata," katanya.

Menurutnya, FAMA juga telah mewujudkan bilik gerakan 'Crisis Management Centre' dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh ataupun 'total lockdown' fasa pertama bermula 1 Jun lalu.

Katanya, bilik gerakan yang beroperasi pada jam 8 pagi hingga 7 petang itu diwujudkan bagi membantu para petani yang menghadapi masalah memasarkan hasil pertanian mereka.

"Kita minta supaya petani atau usahawan yang berdepan dengan masalah untuk pasarkan hasil atau produk mereka untuk hubungi FAMA supaya kita dapat bantu atasi masalah yang dihadapi," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Mohamad Mustahapa turut memaklumkan pihaknya turut menyasarkan untuk mengeksport sejumlah 35,0000 metrik tan durian ke luar negara dengan nilai RM100 juta pada tahun ini.

Jelasnya, tahun lalu sebanyak 30,000 metrik tan durian telah dieksport ke luar negara dengan nilai RM74 juta yang mana Singapura adalah negara tertinggi mengimport durian dari Malaysia diikuti China, Hong Kong, Amerika Syarikat dan Australia.

"FAMA menggalakkan pemasaran eksport untuk mendedah pengusaha dan pengeksport mengenai kelebihan durian kita berbanding durian lain," katanya.