Cukai taksiran didakwa naik hingga 40 peratus

Turut didakwa

Low (kiri) mengadu kepada Chean Chung (dua, kiri) mengenai kenaikan cukai taksiran yang didakwa mahal, di pejabat ADUN, hari ini.
Low (kiri) mengadu kepada Chean Chung (dua, kiri) mengenai kenaikan cukai taksiran yang didakwa mahal, di pejabat ADUN, hari ini.
A
A
A
KUANTAN - Sebanyak 20 aduan diterima Pejabat ADUN Semambu berhubung dakwaan kenaikan cukai taksiran terhadap kediaman penduduk dari 10 hingga 40 peratus.

ADUN Semambu, Lee Chean Chung berkata, aduan itu diterima daripada penduduk Alor Akar, Sri Kuantan, Indera Mahkota dan Kampung Tiram.

“Kenaikan sebanyak itu tidak wajar dilaksanakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dalam keadaan ekonomi sekarang. Saya lihat ia membebankan penduduk malah penduduk mendakwa kenaikan itu dilaksanakan secara senyap dan kenaikan cukai juga terlalu tinggi.

“Sebagai contoh, kadar cukai dikenakan ke atas premis perniagaan meningkat sebanyak 38 peratus iaitu dari RM481 tahun lalu kini mencecah RM665 manakala kediaman pula RM168 (2018) kepada RM189 tahun ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Menurutnya, aduan ini akan dikumpulkan terlebih dahulu sebelum dikemukakan kepada MPK dalam masa terdekat dan sebagai wakil rakyat sudah pasti akan membantu menyelesaikan masalah ini dengan kadar segera.

Sebelum itu, warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Low, 72, menyuarakan rasa kecewa atas kenaikan cukai taksiran terhadap kediaman yang membebankan mereka.

“Pada tahun lalu saya hanya membayar RM160 bagi cukai taksiran dan pada tahun ini ia meningkat kepada RM168 hingga RM300 lebih.

“Kenaikan ini tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada pembayar cukai dan saya amat kecewa dengan tindakan MPK yang menaikkan kadar terbabit secara senyap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK),Nor Kamawati Kamal menafikan kenaikan kadar cukai seperti yang didakwa.
Artikel Berkaitan:


Beliau menegaskan kenaikan terbabit hanya satu peratus untuk keseluruhan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini berdasarkan arahan kerajaan negeri.