UMNO Pulau Pinang minta Parlimen bersidang cepat

Musa Sheikh Fadzir
Musa Sheikh Fadzir
A
A
A

GEORGETOWN - UMNO Pulau Pinang memohon supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin seperti dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, persidangan Parlimen tidak perlu ditangguhkan lagi bagi membincangkan perkara yang memanfaatkan rakyat.

"Ahli politik perlu bersikap adil terhadap rakyat dengan mengadakan persidangan Parlimen segera serta tidak melengah-lengahkannya.

"UMNO Pulau Pinang patuh kepada Yang di-Pertuan Agong dan berpendirian selaras dengan Yang di-Pertuan Agong iaitu mengadakan persidangan Parlimen dengan segera," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Musa turut mempersoalkan ahli politik yang dilihat sengaja melengah-lengahkan persidangan Parlimen diadakan sedangkan sektor perkilangan dibenarkan beroperasi.

"Saya tidak nampak kesukaran bagi ahli Parlimen untuk bersidang kerana jumlah di dewan (termasuk petugas dewan) mungkin dalam lingkungan 700 orang. Tidak mustahil boleh diadakan (persidangan Parlimen) dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP).

"Kilang-kilang boleh dibuka, mengapa Parlimen tidak boleh? Kena adil," katanya.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan hasrat kerajaan adalah selaras dengan Yang di-Pertuan Agong iaitu persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan sentiasa memastikan apa sahaja tindakan atau usaha yang diambil perlu berpegang kepada Perlembagaan dan undang-undang negara.