80 peratus warga polis KL, ahli keluarga sudah divaksin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 80 peratus warga polis kontinjen Kuala Lumpur termasuk ahli keluarga mereka sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo berkata, ia melibatkan 7,360 daripada 9,200 pegawai dan anggota yang bertugas telah menerima suntikan vaksin.

"Kita berharap, ia akan capai 100 peratus pegawai dan anggota serta ahli keluarga mereka menerima suntikan kedua-dua dos vaksin menjelang Ogos ini," katanya.

Beliau berkata demikian sidang akhbar selepas meninjau warga polis dan keluarga mereka menerima suntikan vaksin menerusi Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah di Perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Desa Tasik, Sungai Besi di sini pada Isnin.

Lei Choo berkata, seramai 6,000 warga polis Kuala Lumpur termasuk ahli keluarga mereka akan terbabit dengan program berkenaan di sekitar ibu negara selama enam hari bermula Isnin hingga Sabtu.

"Program sama akan dilaksanakan di Perumahan PDRM Desa Aman 1 dan 2 di Pantai Dalam selama sehari pada Khamis ini membabitkan 2,400 orang.

"Inisiatif itu diambil polis Kuala Lumpur dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan bagi mencapai imuniti kelompok," katanya.

Artikel Berkaitan: