Lelaki mengamuk dalam kebun durian ditahan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TAIPING - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki menyerang dua pekebun hingga merosakkan dua motosikal di sebuah kebun durian di Kampung Perak, Batu Kurau di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, dua beradik berusia 20 dan 19 tahun terpaksa melarikan diri selepas menyedari kehadiran suspek berusia 41 tahun yang turut memegang sebilah parang.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berada dalam keadaan berang menuduh kedua-dua mangsa menghantar 'benda' tidak baik kepadanya.

Menurutnya, mangsa yang cemas telah melarikan diri dengan meninggalkan motosikal jenis Modenas Kriss dan Honda Wave serta telefon bimbit dalam raga kenderaan tersebut.

"Semasa melarikan diri, mereka turut melihat suspek memecahkan kedua-dua motosikal yang diberikan oleh majikan untuk memudahkan mereka bekerja di kebun terbabit.

"Selepas sejam, mereka kembali ke tempat kejadian untuk mengambil barang tetapi telefon bimbit mereka telah hilang manakala motosikal dirosakkan dan kerugian dianggarkan bernilai RM1,500," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Osman berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua mangsa mengenali suspek tetapi mereka berselisih faham.

"Suspek ditahan di rumahnya di Kampung Perak di sini dan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan bagi kesalahan merompak dan Seksyen 427 kanun sama iaitu melakukan khianat," katanya.