Pemulihan pasca-Covid percuma kepada individu kurang mampu

Hospital ReGen Rehab mencari pesakit Covid-19 yang telah pulih untuk menerima rawatan pemulihan pesakit luar secara percuma. - Foto FB ReGen Rehab
Hospital ReGen Rehab mencari pesakit Covid-19 yang telah pulih untuk menerima rawatan pemulihan pesakit luar secara percuma. - Foto FB ReGen Rehab
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hospital ReGen Rehab (ReGen Rehab) di Petaling Jaya dekat sini mencari pesakit Covid-19 yang telah pulih, dalam kalangan individu dan komuniti yang kurang berkemampuan untuk menerima rawatan pemulihan pesakit luar secara percuma di bawah #WeRecoverTogether Post-Covid Rehab Corporate Responsibility Initiative.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif ReGen Rehab, Hanafi Salehuddin berkata, pencarian itu sehingga 30 Jun dan akan berdasarkan penilaian keadaan seseorang individu dan rawatan yang diperlukan.

“Peserta yang layak akan memulakan rawatan pemulihan bermula Julai depan bagi tempoh tiga bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hanafi berkata, inisiatif itu menawarkan rawatan pemulihan bagi individu pasca-Covid untuk menjalani kesinambungan penjagaan secara progresif bagi memenuhi keperluan fizikal, fungsi dan kognitif mereka.

“Sama ada mereka adalah pesakit pasca akut yang memerlukan rawatan dan pemantauan rapi dalam persekitaran khusus atau individu yang telah kembali menjalani aktiviti harian mereka tetapi masih mengalami kesan jangka panjang daripada Covid-19, kami (ReGen Rehab) mahu bekerjasama dalam rawatan mereka untuk memulihkan kesihatan dan membina kehidupan mereka,” katanya.

Hanafi berkata, walaupun kebanyakan individu semakin baik dalam tempoh beberapa minggu daripada penyakit itu, tetapi sesetengah orang mengalami sindrom pasca-Covid yang menunjukkan pelbagai gejala jangka panjang biasanya keletihan, kesakitan dan demam berlarutan sehingga 12 minggu atau lebih selepas jangkitan Covid-19.

Ia juga dikenali sebagai Long Covid, ia boleh berlaku kepada sesiapa yang menghidap Covid-19 sama ada mereka memerlukan rawatan di hospital atau tidak, walaupun penyakit itu ringan atau tidak mempunyai simptom, katanya.

Ketua Pegawai Perubatan ReGen Rehab Datin Dr Lydia Abdul Latif berkata Long Covid boleh berlaku berdasarkan kesan pelbagai organ Covid-19, yang banyak anggota terjejas dan memerlukan penjagaan pemulihan sebagai strategi utama untuk mencegah komplikasi, menggalakkan pemulihan dan meningkatkan fungsi pesakit dan individu pasca-Covid.

Artikel Berkaitan:

Keadaan pasca-Covid boleh menjejaskan sistem badan yang penting seperti jantung, paru-paru, otot dan fungsi otak, menimbulkan sesak nafas, rasa ketat pada bahagian dada, sakit sendi, hilang tumpuan dan gejala kemurungan, yang semuanya dirawat secara klinikal di bawah pemulihan, katanya.

Maklumat mengenai inisiatif tanggungjawab korporat Pasca-Covid Rehab boleh diperoleh dengan menghubungi 03-7626 1388 atau WhatsApp 019-917 1388 atau e-mel info@regen.rehab. - Bernama