Pengunjung tak tahu ada buaya di Tasik Shah Alam

Ng (kiri) dan rakan tidak menyedari jaring yang dipasang di lokasi kejadian.
A
A

SHAH ALAM - Suasana sekitar Tasik Shah Alam dilihat tenang, malah rata-rata pengunjung masih menjalankan aktiviti riadah seperti biasa hari ini walaupun terdapat berita berhubung penemuan anak buaya di situ semalam.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa bahagian tasik tersebut termasuk lokasi penemuan reptilia itu menunjukkan orang ramai masih membawa anak-anak untuk bermain di taman permainan disediakan sambil mereka berjoging di trek disediakan.

Malah pengendali bot serta kayak di tasik juga masih beroperasi seperti biasa.

Tinjauan di lokasi anak buaya itu ditemui semalam menunjukkan terdapat jaring dipasang, namun tiada kelibat haiwan berkenaan.

Pemerhatian Sinar Harian di sekitar lokasi sebaliknya menemui beberapa ekor biawak yang dilihat bertenggek atas batu dan berkeliaran di kawasan tong sampah dipercayai untuk mencari makanan.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Ng, 42 berkata, dia dan rakan-rakan dari Persatuan GuoLin QiGong melakukan aktiviti senaman di tasik tersebut pada setiap hari sejak lebih 10 tahun lalu.

Jaring yang dipasang semalam oleh anggota Perhilitan untuk menangkap reptilia tersebut.
Jaring yang dipasang semalam oleh anggota Perhilitan untuk menangkap reptilia tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN Anak buaya muncul di Tasik Shah Alam

Menurutnya, ini kali pertama dia dan rakan-rakan mendengar tentang anak buaya berkenaan.

"Kami biasa jalan-jalan sekitar tasik bersenam dari jam 7 pagi hingga 1 petang tapi tak pernah nampak anak buaya... Kalau biawak banyaklah.

"Bila dengar ada buaya ni memang terkejutlah... Sebab semalam kami pun ada di sini tapi tak tahu pula tentang perkara tu," katanya.

Ng berkata, dia dan rakan-rakannya juga tidak menyedari terdapat jaring dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi menangkap reptilia itu yang terletak kurang 10 meter dari pondok tempat mereka membuat aktiviti senaman.

Seorang lagi pengunjung, Mohamad Azizul Haqim Ramli, 26 juga terkejut apabila dimaklumkan berhubung penemuan anak buaya itu.

"Memang saya tak tahu langsung dan tak perasan juga jika ia ada dikongsikan di laman sosial.

"Saya selalu joging di sini bila ada masa terluang pada hujung minggu tapi tak pernah nampak buaya... Cuma pernah terserempak dengan biawak besar, "katanya.

Katanya, disebabkan belum melihat sendiri reptilia yang didakwa ada di tasik berkenaan, dia percaya keadaan di situ masih selamat untuk melakukan riadah.

Rata-rata pengunjung membawa ahli keluarga untuk beriadah bersama.
Rata-rata pengunjung membawa ahli keluarga untuk beriadah bersama.

Sementara itu, pelajar Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah, Nurul Hanisah Mohd Noh, 20 berkata, dia dan rakannya, Mohamad Haziq Amani Norzaidi, 20 tetap akan beriadah seperti biasa walaupun terdapat anak buaya di tasik berkenaan.

"Keadaan tasik pun tenang, pengunjung lain yang biasa datang sini juga masih teruskan aktiviti masing-masing dan kami juga tak rasa terancam.

"Tapi tak salah kalau kita ambil langkah berjaga-jaga dan elakkan mendekati kawasan air, "katanya.

Semalam, seekor anak buaya tembaga bersaiz kurang semeter ditemui atas pam di tengah tasik berkenaan.

Susulan itu, anggota Perhilitan turut memasang jaring di lokasi kejadian sebagai salah satu kaedah untuk menangkap reptilia tersebut.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia