Pemandu lori rentas negeri bawa 1,505kg ketum guna surat MITI

Mohd Zaiham (depan) menunjukkan daun ketum yang berjaya dirampas oleh pihak polis di SJR Tol Bentong pada Ahad lalu
Mohd Zaiham (depan) menunjukkan daun ketum yang berjaya dirampas oleh pihak polis di SJR Tol Bentong pada Ahad lalu
A
A
A

BENTONG - Penahanan seorang pemandu lori membawa kepada penemuan daun ketum seberat 1,505 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM45,150 pada Ahad lalu sekali gus sebagai rampasan terbesar di Pahang tahun ini.

Pemandu lori yang juga lelaki warga tempatan berusia 28 tahun itu ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di Tol Bentong kira-kira jam 8.30 pagi selepas polis bertugas mendapati suspek itu berada dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, ketika ditahan, suspek memiliki borang Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Pemeriksaan di belakang lori mendapati daun ketum dimasukkan ke dalam beberapa guni dan plastik antaranya 17 guni besar berwarna biru, 243 plastik berwarna kuning dan 25 kotak pelbagai saiz, yang kesemuanya mengandungi daun ketum.

"Daun ketum itu diperoleh dari sebuah negeri di utara tanah air untuk dihantar ke sebuah lokasi di Kuantan. Bagaimanapun, apabila sampai di Rawang, lori tersebut mengalami kerosakan dan muatan daun ketum dipindahkan ke lori lain dan digantikan oleh pemandu iaitu suspek tersebut.

"Suspek dibayar wang pendahuluan sebanyak RM1,500 manakala bakinya RM1,500 akan dibayar apabila daun ketum itu berjaya diserahkan," katanya pada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini pada Isnin.

Zaiham berkata, sebaik tiba di bandar itu, seorang lelaki bernama 'Sham' akan menghubungi suspek itu.

"Usaha mengesan lelaki itu diteruskan manakala suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini( Isnin) untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952" katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suspek juga memiliki lima rekod lampau berkaitan dadah.

"Turut dirampas wang tunai bernilai RM1,900 dan sebuah lori jenis Daihatsu Delta seberat tiga tan," katanya.