Lelaki Nigeria, isteri tidak mengaku alih wang RM4,080

Adetola (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan mengalihkan wang berjumlah RM4,080, tiga bulan lalu.
Adetola (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan mengalihkan wang berjumlah RM4,080, tiga bulan lalu.
A
A
A

AMPANG - Seorang lelaki warga Nigeria dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan mengalihkan wang berjumlah RM4,080 tiga bulan lalu.

Adetola David Gbolahan, 36, dan Sopiah Jamaludin, 48, yang merupakan penduduk tempatan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan curang mengalihkan wang dengan tiga transaksi berjumlah RM4,080 dalam milikan seorang lelaki yang telah dimasukkan ke akaun seorang wanita di cawangan Ambank, Kompleks Ampang Point di sini pada jam 1 petang, 31 Mac lalu.

Atas pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pasangan itu turut berdepan pertuduhan alternatif, iaitu dengan curang mengalihkan wang dengan jumlah sama di mana mereka tidak dapat memberi penjelasan yang munasabah sebab mereka mengeluarkan wang itu di lokasi dan masa sama.

Bagi pertuduhan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan dibaca bersama Seksyen 34 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Suriantiazila Muhamad tidak menawarkan ikat jamin kepada Adetola David.

"Bagi tertuduh kedua iaitu Sopiah, pendakwaan mencadangkan dia diberi ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan satu penjamin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam Rahmat Hazlan yang mewakili kedua-dua tertuduh, merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum.

Beliau berkata, Adetola yang bekerja sebagai seorang peniaga manakala Sopiah merupakan suri rumah antara penduduk yang terjejas akibat Covid-19.

"Pasangan ini berkahwin sejak 2011 dan memberi kerjasama yang baik kepada polis menunjukkan mereka tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan Adetola diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin manakala Sopiah mengikut jumlah sama dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Julai depan untuk sebutan semula kes.