Pemaju projek Prolintas masih disiasat

Eddin (dua dari kiri) semasa melawat PPV Bergerak di Seri Menanti Kuala Pilah pada Isnin.
Eddin (dua dari kiri) semasa melawat PPV Bergerak di Seri Menanti Kuala Pilah pada Isnin.
A
A
A

KUALA PILAH - Pemaju bagi projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) boleh dikenakan tindakan undang-undang jika didapati berlaku kecuaian dan tidak mematuhi standard piawaian yang ditetapkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, bagaimanapun siasatan penuh sedang dilakukan bagi mengenalpasti punca kejadian dan bukti berkaitan.

"Pemaju juga boleh dikenakan denda atau digantung lesen operasi," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Seri Menanti, di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, ahli Parlimen Kuala Pilah itu juga memberitahu, beliau tidak mahu membuat kesimpulan lebih awal terhadap kejadian yang berlaku membabitkan projek Prolintas itu sehingga siasatan lengkap selesai.

"Terlalu awal untuk saya membuat kesimpulan, saya sendiri tidak mempunyai maklumat penuh. Tunggu siasatan selesai," katanya.

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) telah menghentikan serta-merta kerja di tapak pembinaan yang terlibat dengan insiden perancah besi jatuh di Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) pada lewat petang Sabtu.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Prolintas mengesahkan kejadian tersebut melibatkan projek pembinaan lebuh raya berdekatan Kota Damansara yang diuruskan oleh syarikat pemaju Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd.

Susulan kejadian itu, dua pekerja pembinaan cedera sebelum salah seorang daripada pekerja itu disahkan meninggal dunia ketika dirawat di wad kecemasan, Hospital Sungai Buloh jam 7 pagi Ahad.

Artikel Berkaitan: