Pas Perak sokong Sidang DUN dibuka segera

Razman Zakaria
Razman Zakaria
A
A
A

BAGAN SERAI - Pas Perak bersetuju agar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuka semula dalam waktu terdekat ini.

Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, barisan pentadbiran sudah tentu mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan persidangan itu dijalankan selaras dengan kebenaran Majlis Raja-Raja Melayu pada Rabu lepas.

"Bagi pihak Pas negeri, kita menjunjung kasih titah perintah Yang di-Pertuan Agong. Kita ikut apa yang dibuat di peringkat Parlimen. Jika Dewan Rakyat dibuka dengan tatacaranya, maka keadaan sama pastilah boleh diguna pakai di peringkat negeri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan keperluan dapur kepada penduduk Kampung Selamat, Gunung Semanggol di sini pada Isnin.

Beliau berkata, dalam hal itu, kuasa persetujuan ada pada Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad dengan perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

"Kita ada jawatankuasa yang lebih tahu kesesuaian diadakan persidangan DUN dalam situasi Covid-19 ini. Apa juga ketetapan nanti telah mengambil kira semua aspek pandangan untuk diperkenan Sultan.

"Pas pastinya menyokong cumanya keputusan itu tidaklah di tangan kita kerana bukan parti ini yang utama memimpin kerajaan negeri," katanya.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan bahawa kerajaan negeri Perak akan memohon perkenan Sultan Nazrin untuk mengadakan sidang DUN.

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, bagi tujuan itu, kerajaan negeri akan menyembah maklum beberapa tarikh kepada baginda bagi mendapatkan perkenan memanggil sidang DUN.

Artikel Berkaitan: