Kerani rugi hampir RM1 juta ditipu 'kekasih maya'

Seorang wanita mengalami kerugian hampir RM1 juta selepas diperdaya sindiket Love Scam di Alma di sini baru-baru ini.
Seorang wanita mengalami kerugian hampir RM1 juta selepas diperdaya sindiket Love Scam di Alma di sini baru-baru ini.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang wanita mengalami kerugian hampir RM1 juta selepas diperdaya sindiket Love Scam di Alma di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, wanita yang bekerja sebagai kerani itu kehilangan wang sebanyak RM927,400 selepas tertipu dengan suspek yang mendakwa kononnya tinggal di Amerika Syarikat.

Menurutnya, mangsa yang berusia 58 tahun itu mula berkenalan dengan suspek melalui Instagram sejak April 2019.

"Suspek memperkenalkan diri sebagai 'William Schang' ketika berkenalan. Mereka kemudian bertukar nombor telefon dan menjalin hubungan cinta walaupun tidak pernah berjumpa secara bersemuka.

"Suspek kemudiannya mengadu mempunyai masalah kewangan kepada mangsa, kononnya memerlukan wang untuk membiayai urusan perniagaan cari gali petroleum miliknya di Amerika Syarikat.

"Dia meminta pertolongan mangsa dan berjanji memulangkan semula wangnya dengan komisen yang tinggi," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Shafee berkata, mangsa yang juga ibu tunggal mendakwa kasihan dengan masalah kekasihnya itu melakukan 50 transaksi ke lima akaun tempatan yang diberikan suspek.

"Dia melakukan kesemua transaksi itu sejak 9 April 2019 sehingga Februari tahun ini membabitkan wang berjumlah RM927,400. Mangsa tidak mengesyaki perkara lain selain mempercayai janji suspek terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal mendapati, mangsa menggunakan wang simpanannya dan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.

Tambah Shafee, mangsa hanya menyedari terperangkap dengan sindiket Love Scam apabila gagal menghubungi suspek selepas melakukan pemindahan kesemua wangnya.

"Kita menerima laporan mangsa pada semalam (Ahad) dan usaha mengesan semua pemilik akaun yang digunakan sindiket tersebut giat dijalankan," katanya.

Menurut Shafee, sindiket berkenaan mungkin menggunakan keldai akaun bank untuk menipu mangsa dan semakan mendapati, empat daripada lima nombor akaun itu mempunyai laporan berkaitan kes penipuan di beberapa negeri lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.