Parlimen perlu bersidang demi rakyat bukan kepentingan politik

Tan Sri Noh Omar
Tan Sri Noh Omar
A
A
A

SHAH ALAM - Parlimen boleh bersidang walaupun dalam tempoh darurat bagi membantu kerajaan menyelamatkan negara dan bukannya demi kepentingan politik.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, mengikut Artikel 40 Perlembagaan Persekutuan, kuasa perdana menteri boleh diperturunkan kepada Yang di-​Pertuan Agong di bawah peruntukan Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Beliau berkata, ini sekali gus bermaksud kabinet bersetuju untuk memberikan kuasa kepada Yang di-​Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen tanpa nasihat daripada perdana menteri.

"Bagi pendapat saya, apabila kabinet telah memberikan kuasa kepada Yang di-​Pertuan Agong maka Artikel 40 Perlembagaan Persekutuan tidak terguna pakai sehingga tamat darurat.

"Saya bersetuju dengan pendapat Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim sebelum ini yang mana tidak ada sebarang krisis Perlembagaan Persekutuan berlaku," kata Noh di laman Facebooknya pada Isnin.

Rais menerusi satu ciapan di laman Twitter pada Sabtu berpendapat Yang di-​Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah mempunyai kuasa autoriti untuk memanggil ahli Parlimen kembali bersidang.

Menurut beliau, Seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen.

Dalam pada itu, Noh yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, sekiranya ada usul undi tidak percaya terhadap pentadbiran kerajaan hari ini, beliau secara peribadi tidak akan menyokong dan menolak usaha itu.

Artikel Berkaitan:

"Parlimen harus bersidang bukan kerana kepentingan politik tetapi atas kepentingan rakyat dalam membantu kerajaan menyelamatkan negara daripada serangan Covid-19 dan krisis ekonomi," katanya.

Tambah Noh, beliau turut menyambut baik ketegasan UMNO yang menjunjung dan mempertahankan kedaulatan raja-raja dengan memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan untuk membuka kembali sidang Parlimen.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi satu kenyataan pada Isnin menyatakan parti itu berpendirian tegas mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan itu dikeluarkan.

Beliau berkata, kegagalan kerajaan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.