X

Kindly register in order to view this article
!

UMNO sumbang hampir RM1 juta bantu Palestin

Abdul Azeez (tiga dari kanan) menyerahkan cek sumbangan kepada Dr Mohammad (tiga dari kiri) pada Ahad.
A
A

SHAH ALAM - Biro Kebajikan UMNO melalui Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Palestin (HM4P) tiba di Amman, Jordan pada Ahad bagi menyalurkan sumbangan sebanyak ASD200,000 atau RM828,000 kepada Tabung Al-Aqsa di bawah Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan.

Sumbangan disampaikan Ketua Misi HM4P, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kepada Menteri Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan, Dr Mohammad Al-Khalaileh bagi membaikpulih, menambahbaik dan memenuhi keperluan berkaitan pengurusan dan penyelenggaraan Masjid Al-Aqsa.

“Penyerahan dana ini bertujuan menyampaikan solidariti kita kepada rakyat Palestin, itu keutamaan kita,” kata Abdul Azeez yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNO dalam kenyataan pada Ahad.

Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Jordan, Datuk Jilid Kuminding; Pengarah Direktorat Al-Quds Awqaf, Dr Abdul Satar Al-Qudah; Pengerusi Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Umar Fahmi Al-Kiswani dan Timbalan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Dr Datuk Fathul Bari Mat Jahya.

Abdul Azeez memberitahu, sumbangan itu disampaikan secara terus kepada pengurusan Masjid Al-Aqsa disaksikan menteri bertanggungjawab di Jordan dan Pengerusi Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Umar Fahmi Al-Kiswani.

“Kita juga berhasrat menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin di Jordan,” kata Abdul Azeez yang akan bergerak ke Kaherah pada Selasa untuk meneruskan misi bantuan ke wilayah Gaza yang diserang Israel pada bulan lalu.

Dalam pada itu, Sheikh Umar mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia di atas sumbangan kepada Masjid Al-Aqsa.

“Dana itu akan digunakan untuk pembangunan atau pemulihan Masjid Al-Aqsa kesan serangan (rejim zionis Israel) baru-baru ini,” katanya.

Mengulas mengenai sumbangan itu, Jilid pula menyifatkan ia sebagai sumbangan pertama disalurkan secara terus kepada Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan yang bertanggungjawab mentadbir Masjid Al-Aqsa dan Baitulmaqdis di bawah penjagaan Raja Abdullah II dari Jordan.

Difahamkan, kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra turut menyampaikan sumbangan kepada Masjid Al-Aqsa dan warga Palestin.

Setiap tahun Jordan memperuntukkan ASD18 juta untuk pengurusan dan penyelenggaraan Masjid al-Aqsa termasuk membayar gaji pekerja serta lebih 300 petugas yang menjaga keselamatan masjid itu daripada diceroboh zionis.

Misi HM4P selama dua minggu bermula 19 Jun lalu bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan warga Palestin terjejas di Gaza yang diserang tentera Israel bulan lalu.

Serangan rejim Israel ke atas wilayah konflik Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu menyaksikan kemusnahan harta benda selain mengorbankan lebih 250 warga Palestin, termasuk 66 kanak-kanak.

Media melaporkan lebih 77,000 warga Palestin di Gaza hilang tempat tinggal akibat serangan rejim Israel.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!