Tiada kesan mendapan akibat penggunaan air bawah tanah di Kelantan

Ir Dr Azuhan Mohamed
Ir Dr Azuhan Mohamed
A
A
A

KOTA BHARU - Penggunaan air bawah tanah yang tinggi terutama di kawasan bandar di Kelantan tidak meninggalkan kesan negatif kepada bentuk muka bumi seperti mendapan tanah.

Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Datuk Ir Dr Azuhan Mohamed berkata, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sentiasa membuat pemantauan bagi mengesan sebarang pergerakan tanah sekiranya berlaku.

"Kejadian mendapan tanah boleh berlaku dalam dua keadaan, iaitu pertama, pembangunan air bawah tanah dalam 'akuifer aluvial' tertekan di mana lapisan tanah liat berada di atas lapisan pasir.

"Kedua, pembangunan air bawah tanah berlebihan dalam tempoh yang lama iaitu belasan atau puluhan tahun. Fakta ini menyebabkan terjadi mendapan tanah akibat pembangunan air bawah tanah di Thailand khususnya di Bangkok dan di Pulau Jawa, Indonesia.

"Di Denmark, hampir seratus peratus air yang digunakan untuk sekian lama adalah air bawah tanah tanpa kesan negatif yang ketara kepada alam sekeliling," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, pengurusan lestari kawasan tadahan (air) adalah sangat penting untuk meningkatkan sumber air permukaan tetapi juga sumber (air) bawah tanah.

Beliau berkata, aliran air permukaan yang 'diperlahankan' oleh tumbuh-tumbuhan membantu meningkatkan kualiti air sungai.

Ir Azuhan berkata, pada masa sama, aliran air permukaan yang perlahan akan meningkatkan penyusupan air ke dalam tanah seterusnya meningkatkan storan air bawah tanah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perkhidmatan bekalan air awam di Kota Bharu adalah dari sumber bawah tanah sementara kawasan luar bandar pula penduduk menggunakan air mentah dari sungai dan bukit.

"Bagaimanapun, pembangunan air permukaan berskala mega sedang dirancang untuk meningkatkan bekalan air terawat di utara lembangan Sungai Kelantan.

"Langkah ini dibawah pelan Pembangunan Takungan Air Pinggiran Sungai dengan kapasiti 500 juta liter sehari (TAPS-500) di Jajahan Machang," katanya.

Menurutnya, negara-negara maju di dunia berjaya membangunkan sumber air bawah tanah secara lestari sebagai pilihan utama yang mempunyai banyak kelebihan.

Katanya, kualiti air yang stabil dan selamat dapat mengurangkan kos rawatan untuk bahan mentah itu.

Beliau berkata, potensi air bawah tanah adalah lebih tinggi berbanding potensi air permukaan iaitu air sungai dan takungan tasik dan empangan di mana lebih dari 95 peratus air tawar dunia yang boleh dibangunkan adalah air bawah tanah.

"Air hujan yang turun di bumi, sebahagiannya akan mengalir ke sungai (43 peratus) di semenanjung Malaysia, sebahagiannya akan kembali ke udara melalui proses sejatan iaitu dari permukaan air dan melalui tumbuh-tumbuhan (51peratus).

"Bakinya akan menyusup ke dalam tanah dan menjadi air bawah tanah (6 peratus)," katanya.

Ir Azuhan berkata, air yang mengalir ke sungai akan berakhir di laut (purata kadar aliran air sungai adalah 50-70 km/hari).

Katanya, sementara air yang menyusup ke dalam tanah akan menjadi storan air tanah (purata kadar aliran air bawah tanah adalah 0.2 – 20 m/hari).

Beliau berkata, fakta ini menunjukkan air tawar banyak terdapat dalam tanah berbanding di permukaan tanah.

Menurutnya, sebagai contoh, pada musim kemarau berpanjangan, air yang mengalir di sungai adalah air bawah tanah.

"Air bawah tanah muncul di permukaan tanah melalui mata air," katanya.