Pengerusi Tetap Srikandi Johor Bahru dan timbalan letak jawatan

Masazlina Bachok
Masazlina Bachok
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengerusi Tetap Srikandi Bahagian Johor Bahru, Masazlina Bachok dan timbalannya, Khairunnisah Ali mengumumkan meletak jawatan berkuatkuasa pada Ahad.

Turut sama meletak jawatan ialah enam Ahli Jawatankuasa (AJK) Srikandi bahagian itu.

Surat peletakan jawatan mereka diserahkan kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun pada Ahad.

Masazlina yang juga Ketua Srikandi Cawangan Taman Abad mendakwa, peletakan jawatan mereka dilakukan kerana Ketua Srikandi Bahagian Johor Bahru, Datuk Azlinda Abdul Latif tiada ketelusan dalam kepimpinan.

Beliau berkata, Azlinda yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri bertindak lepas tangan dalam sesuatu masalah dan menganggap remeh setiap perkara yang dibangkitkan selain kepimpinan berat sebelah.

"Suara akar umbi juga kurang mendapat perhatian seolah-olah wujud pentadbiran kayangan. Begitu juga mengamalkan perpecahan dalam parti dan mengetepikan perlembagaan parti yang menerapkan nilai penyatuan.

"Selain itu pelantikan Penasihat Srikandi dilakukan tanpa persetujuan dan perbincangan bersama-sama AJK yang dipilih," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Pada 16 Mei lalu, bekas Pengerusi Srikandi Muda Negeri Johor, Nur Najihah Abdul Halim menolak jawatan baharunya dalam Biro Kesenian dan Kebudayaan Negeri Johor susulan penstrukturan semula Srikandi Muda Negeri Johor.

Artikel Berkaitan:

Pada 20 Mei pula, Nor Jazreeniza Mad Jaafar dan Nur Sofea Ariessa Azizul masing-masing mengumumkan peletakan jawatan mereka sebagai Ketua Penerangan Srikandi Muda Negeri Johor dan Bendahari Biro Srikandi Muda Johor.

Sementara itu, Masazlina berkata, Ketua Srikandi bahagian itu juga tidak membawa dalam mesyuarat berhubung pemilihan atau pencalonan jawatankuasa lantikan, pelantikan pengerusi-pengerusi biro serta Pengerusi Biro Srikandi Muda daripada yang lama sehingga terbaharu.

Selain itu, katanya, perbincangan atau mesyuarat rasmi Ketua Srikandi bersama-sama AJK Srikandi yang dipilih dan Ketua Srikandi cawangan tidak mengikut peraturan, malah kebanyakan dihadiri oleh mereka yang tidak sepatutnya bagi menyokong sebarang keputusan.

Masazlina bagaimanapun berkata, mereka masih lagi ahli Bersatu dan tiga daripadanya masih menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Srikandi cawangan di Taman Abad, Bandar Baru Uda dan Kebun Teh kerana masih sayangkan parti.