Pemulihan ekonomi negara kita perlahan: KLCAH

Dr KK Chai
Dr KK Chai
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur (KLCAH) memaklumkan bahawa pemulihan ekonomi negara adalah perlahan disebabkan proses vaksinasi yang tidak sepantas negara luar seperti Eropah dan China.

Presiden KLCAH, Datuk Seri Dr KK Chai berkata demikian setelah pihaknya membuat penyelidikan dengan mengumpul dan menganalisis pakej pemulihan ekonomi Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, United Kingdom, Jerman, China, Jepun, Korea Selatan, Singapura serta negara-negara lain.

Beliau berkata, banyak negara Eropah dan China secara beransur-ansur sudah mengawal wabak Covid-19 daripada merebak dan kini berusaha sedaya upaya untuk menghidupkan semula ekonomi.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan harus mengambil inisiatif dan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 yang mencukupi secepat mungkin bagi mengimbangi ekonomi dan sosial negara.

“Pada masa ini, terlalu ramai orang di negara ini kehilangan nyawa dan kehidupan mereka kerana wabak ini. Kita tidak perlu menunggu lagi.

“Kami mendesak kerajaan untuk merujuk pada strategi negara-negara ini untuk menolong pengusaha negara kita mengatasi kesulitan dan memulihkan ekonomi serta daya hidup secepat mungkin.

“Kerajaan harus mengikuti contoh-contoh tersebut termasuk strategi vaksinasi agar tidak membuang masa dan terus berada di jalan yang salah,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

KK Chai berkata, rakyat percaya kerajaan harus belajar daripada pengalaman memerangi wabak Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi sejak 15 bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagi memastikan rancangan pemulihan lengkap atau rancangan bantuan kewangan dilaksanakan, katanya, sebarang pendapat dan persepsi profesional dari pelbagai bidang perlu dipertimbangkan dan bukannya bekerja di belakang pintu tertutup.

Tambah beliau, KLCAH juga bersetuju dengan pendapat supaya sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan secepat mungkin seperti diputuskan pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

“Raja-raja Melayu juga melihat bahawa ketidakstabilan politik akan menyebabkan kegagalan usaha melawan pandemik.

“Kami percaya bahawa kerajaan sentiasa mengulangi kesalahan, membuat keputusan yang tidak efektif termasuk prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan, pengaturan vaksinasi, pakej bantuan kewangan dan lain-lain."

“Kerajaan harus segera bertindak balas untuk melaksanakan kehendak pemerintah dan rakyat,” ujar beliau.