Vaksinasi: CITF terima 98,166 permohonan ibu hamil

CITF menerima 98,166 permohonan daripada ibu hamil untuk vaksinasi. Gambar hiasan.- Foto 123RF
CITF menerima 98,166 permohonan daripada ibu hamil untuk vaksinasi. Gambar hiasan.- Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) menerima 98,166 permohonan untuk pendaftaran vaksinasi Covid-19 daripada ibu hamil.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, janji temu sedang dikeluarkan secara berperingkat mengikut jangkaan tarikh bersalin (EDD).

"Hujung minggu lepas kita telah memberikan sebanyak 3,000 janji temu di Kuala Lumpur dan 224 di Perlis bagi ibu hamil," katanya pada sidang akhbar perkembangan PICK yang turut disertai oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurutnya, jumlah pendaftaran selebihnya akan diproses pada minggu ini dan seterusnya.

"Ia mengikut keutamaan EDD ibu hamil," katanya pada Isnin.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk memberi pelalian Covid-19 kepada ibu hamil dengan dengan usia kandungan antara 14 hingga 33 minggu dengan menggunakan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech.

Pada perkembangan sama, beliau berkata, CITF telah meluluskan 5,621 permohonan vaksinasi awal untuk pelajar yang mahu menyambung pelajaran ke luar negara.

Khairy Jamaluddin turut memberitahu, seramai 15,426, 982 individu telah mendaftar bagi mendapatkan vaksin Covid-19 dengan 5,971,888 bilangan janji temu dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

"Ratio pendaftaran kepada populasi 18 tahun ke atas adalah 65.9 peratus," katanya.

Menurutnya, terdapat 4,211,423 individu telah menerima dos pertama manakala 1,604,152 telah lengkap suntikan.

"Jumlah keseluruhan individu yang telah divaksinkan adalah 5,675,002," katanya.

Pada 15 Jun lalu, negara sekali lagi merekodkan kadar vaksinasi harian melebihi paras baharu iaitu sebanyak 215,876.

Vaksinasi harian tertinggi yang dicatatkan setakat ini pada 17 Jun dengan jumlah dos yang diberikan sebanyak 221,706.

"Kita akan terus menyasarkan kepada penanda aras baharu iaitu sebanyak 300,000 dos sehari dalam masa terdekat," katanya.

Menurutnya, purata pemberian suntikan vaksin sepanjang minggu lalu juga terus meningkat ke 189,329 berbanding pada minggu sebelumnya iaitu sebanyak 130,842.

"Kadar vaksinasi negara kini sedang giat diperhebatkan di seluruh negara, selari dengan sasaran Pelan Pemulihan Negara untuk mencapai imuniti kelompok secepat mungkin dan negara boleh mula beralih secara teratur serta selamat kepada norma kehidupan pra pandemik," katanya.