Mentaliti menang Itali membara

Pemain-pemain Itali meraikan kejayaan menewaskan Wales pada aksi Euro di Stadium Olímpico, Rome pada Isnin. -Foto EPA
Pemain-pemain Itali meraikan kejayaan menewaskan Wales pada aksi Euro di Stadium Olímpico, Rome pada Isnin. -Foto EPA
A
A
A

PENGENDALI Itali, Roberto Mancini menyifatkan skuadnya pada saingan Euro 2020 adalah produk mentaliti sebenar The Azzurri selepas melabuhkan tirai saingan kumpulan A dengan kemenangan 1-0 ke atas Wales di Stadium Olimpico, Rome awal pagi tadi.

Malah menurut Mancini yang juga bekas pengurus Zenit Saint Petersburg dari 2017 hingga 2018 berusia 56 tahun itu, The Azzurri masih tetap mampu memberikan impak positif walaupun melakukan lapan pertukaran dalam kesebelasan utama dalam aksi terakhir kumpulan menentang The Dragons.

"Sejujurnya, saya gembira dengan keyakinan tinggi dalam kalangan pemain Itali yang semakin bijak dan matang di padang seperti dibuktikan dalam perlawanan menentang Wales.

"Setiap pemain yang diturunkan menentang Wales mempunyai keazaman tinggi untuk membawa pulang tiga mata untuk pasukan.

"Malah mentaliti untuk meneruskan rentak kemenangan Itali sebelum ini juga berada pada tahap tinggi, walaupun saya telah melakukan rombakan terhadap lapan pemain dengan hanya mengekalkan tiga pemain sebelum ini dalam kesebelasan utama," katanya.

Anak buah Mancini menutup kempen kumpulan dengan rekod tanpa kalah apabila jaringan babak pertama minit ke-39, pemain tengah kelab Serie A, Atalanta BC, Matteo Pessina mengesahkan kemenangan ketiga berturut-turut The Azzurri kali ini.

Kemenangan tipis ke atas The Dragons kendalian Rob Page itu juga melebarkan momentum tanpa kalah Itali dalam 30 perlawanan semua pertandingan sekaligus menyamai rekod ketika The Azzurri di bawah jurulatih, Vittorio Pozzo antara November 1935 dan Julai 1939.

Kali terakhir Itali tewas adalah pada September 2018, ketika tumbang 0-1 semasa menentang Portugal.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mancini lagi, pemain-pemain Itali juga berjaya mengekalkan identiti sama The Azzurri pada perlawanan itu yang merupakan faktor penyumbang kepada kemenangan gergasi Eropah tersebut.

"Bukan sesuatu yang mudah untuk mendapatkan keputusan positif tambahan pula apabila anda melakukan perubahan terhadap pasukan yang cemerlang dalam dua perlawanan sebelum ini.

"Pemain-pemain yang diturunkan hari ini berjaya menterjemahkan identiti yang dibawa pemain dalam dua perlawanan terdahulu, ini penting dan saya amat gembira.

"Apabila berlaku perubahan terhadap kesebelasan utama pasukan, ia tidak seharusnya mengubah momentum permainan kerana mentaliti pasukan tetap sama iaitu mentaliti menang," katanya.

Bagaimanapun Mancini mengakui untuk fasa kalah mati pusingan 16 terbaik, cabaran yang bakal dihadapi The Azzurri pastinya lebih berintensiti tinggi.

"Untuk pusingan 16 terbaik, kami perlu melakukan persiapan dengan penuh rapi kerana bakal berdepan lawan sukar.

"Apa pun saya gembira kerana selepas pemain-pemain Itali memberikan aksi terbaik pada fasa kumpulan, kami akan lebih berkeyakinan berdepan fasa seterusnya," katanya.

Itali dan Wales mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik selepas kedua-dua pasukan muncul juara serta naib juara kumpulan A.