Pergerakan Yadim tidak dikuasai politik

Wawancara Nik Omar bersama Sinar Harian. - Foto Sinar Harian/MOHD IZARI ROSLI
Wawancara Nik Omar bersama Sinar Harian. - Foto Sinar Harian/MOHD IZARI ROSLI
A
A
A

PADA awal Februari lalu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dikritik hebat pelbagai pihak termasuk pemimpin pembangkang yang mempertikaikan tindakan melantik sepuluh ahli politik termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Omar Baghrib Ali daripada parti DAP sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah.

Sebahagian besarnya, mempersoalkan kewajaran memilih ahli DAP dalam badan amanah tersebut yang disifatkan tidak selari dengan misi Yadim, ‘Mengembangkan dakwah massa bagi melahirkan Khaira Ummah melalui pendekatan berhikmah'.

Walhal, umum mengetahui perlembangaan DAP selama ini sentiasa menentang agenda Islam sekali gus mempertahankan negara sekular.

Justeru, bagi merungkai isu berkenaan dengan lebih lanjut ikuti wawancara Sinar Harian bersama Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Kontroversi pelantikan pemimpin DAP dalam Yadim menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat terutamanya umat Islam di negara ini. Apakah respon tuan mengenai isu terbabit?

Benar Sheikh Omar merupakan ahli parti DAP, tetapi jangan lupa beliau beragama Islam. Jadi tidak timbul isu sama ada wajar ataupun tidak bagi pihak Yadim melantiknya sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pemegang Amanah.

Beliau bersama sembilan anggota lain dipilih berdasarkan kelayakan, pengalaman, kemahiran dan keupayaan dalam menyebarkan dakwah kepada semua rakyat Malaysia khususnya mereka yang bukan Islam.

Dalam pada itu, adanya Sheikh Omar sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim, secara tidak langsung boleh menjadi 'suara' membantu memberikan nasihat perihal Islam kepada pemimpin DAP.

Artikel Berkaitan:

Terdapat dakwaan bahawa pelantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim dalam kalangan anggota politik dikhuatiri menjejaskan kesucian institusi Islam di negara ini, bagaimana pandangan tuan selaku pemimpin tertinggi badan amanah ini?

Saya yakin agenda politik tidak akan menguasai agensi ini, memandangkan segala perbincangan dan program yang dirangka adalah tertumpu kepada fungsi utama Yadim itu diwujudkan iaitu fokus kepada dakwah, pendidikan, kebajikan dan sosial seiring dengan dasar negara. Hal-hal politik dan parti sama sekali tidak dibincangkan dalam Yadim.

Lagipun ahli politik tersebut dipilih bukan kerana latar-belakang parti, sebaliknya dinilai daripada aspek kekuatan masing-masing yang dilihat mampu mengukuhkan syiar Islam.

Tidakkah tuan bimbang dengan isu pelantikan anggota politik khususnya ahli DAP akan menyebabkan badan bukan kerajaan (NGO) Islam bertindak menjauhi Yadim?

Alhamdulillah. Setakat ini kami masih mendapat kepercayaan dan sokongan daripada 120 buah NGO di bawah Yadim. Kami saling bertukar pendapat dan pandangan berkaitan hal ehwal Islam.

Adakah benar dakwaan sesetengah pihak bahawa Islam semakin dipinggirkan di bawah pimpinan kerajaan PH?

Saya pula melihat perkara ini sebaliknya. Walaupun berbeza pandangan mahupun politik, tetapi agama Islam tetap menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan PH. Buktinya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad begitu komited dalam memastikan segala tadbir urus negara mengikut syariah.

Selain itu, agama Islam di negara ini turut diberi perhatian menerusi saluran peruntukan secara adil dalam Bajet 2019 dan kewujudan gagasan Islam baharu berdasarkan konsep, Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia. Apakah formula terbaik bagi mengatasi perpecahan umat Islam dek perbezaan politik?

Umat Islam sentiasa diingatkan supaya tidak berbalah walaupun berbeza pendapat dan ideologi politik demi perpaduan Islam.

Kepelbagaian perbezaan pandangan dan pendapat itu perkara biasa. Namun, apabila menyentuh bab Islam semua pihak harus bersatu dan terus berjuang ke arah kesatuan ummah bagi membina sebuah negara harmoni dan sejahtera.

Sehubungan itu, pihak Yadim akan mengadakan perbincangan bersama ahli politik, individu berpengaruh, NGO bagi memperoleh rumusan terbaik penyebaran Islam dan kesatuan umah.

Ini termasuklah, menganjurkan program Multaqa Ulama Sedunia yang menghimpunkan barisan ulama tempatan dan masyhur dari luar negara untuk menyumbang idea dalam menangani isu kesatuan ummah dengan baik.

Pada 20 Februari ini genap dua bulan tuan menerajui Yadim, bagaimana perkembangan setakat ini?

Alhamdulillah, sejak diberi tanggungjawab menguruskan Yadim pada 20 Disember tahun lalu, kini kami berada pada fasa ketiga (penstrukturan) iaitu peringkat akhir sebelum program dan produk yang dirangka dilaksanakan dengan baik.

Fasa pertama tertumpu pada tiga gagasan Islam baharu yang diketengahkan kerajaan PH seperti Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia. Sementara, fasa kedua pula sesi pembentangan fungsi, strategi, kekangan dan cabaran daripada 15 bahagian dan unit di bawah Yadim.

Adakah tuan berasakan dalam tempoh dua tahun memadai untuk melaksanakan program ataupun produk yang disusun?

Pastinya dua tahun merupakan tempoh yang singkat namun, atas faktor tersebut Yadim sudah mula bergerak pada hari pertama saya diberi tanggungjawab memimpin agensi ini. Dijangka pada bulan April depan secara rasmi kami akan melaksanakan program dan produk baharu.

Justeru, dalam tempoh dua tahun nanti rakyat dapat menilai dan memperoleh manfaat hasil daripada program yang dijalankan.