Sidang Parlimen: Perlu untuk bincang hala tuju ekonomi negara

Azhari
Azhari
A
A
A

SHAH ALAM - Pembukaan sidang Parlimen perlu disegerakan bagi membincangkan hala tuju perancangan ekonomi negara dalam menghadapi serangan pandemik Covid-19 ini.

Ketua Penerangan Muafakat Nasional (MN) Selangor, Datuk Azhari Shaari berkata, langkah ini juga adalah bagi memastikan tiada mana-mana rakyat terkesan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasakan kerajaan.

Azhari berkata, ketika ini, terdapat ramai rakyat terkesan berikutan pekerjaan mereka tidak tergolong dalam bidang perkhidmatan perlu (essential servis).

"Bukit kalau ditarah lama-lama jadi busut dan begitulah juga dengan belanja seharian demi kelangsungan hidup.

"Sebaiknya Parlimen bersidang segera untuk membincangkan hala tuju perancangan ekonomi negara bagi memastikan pasca 'lockdown' kelak tiada yang terkunci rapat sumber rezeki mereka," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: 'UMNO beri kerajaan tempoh 14 hari buka Parlimen'

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi satu kenyataan pada Isnin menyatakan parti itu berpendirian tegas mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan itu dikeluarkan.

Beliau berkata, kegagalan kerajaan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Azhari berkata, cadangan UMNO supaya kerajaan menyegerakan sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari bukannya satu langkah politik namun demi rakyat negara ini yang sedang menderita.

"Sewajarnya Parlimen dibuka segera demi rakyat dan masa depan negara.

"Jangan jadikan Parlimen isu yang disorong tarik kerana di situlah mandat rakyat diterjemahkan untuk membela rakyat," katanya.