FAMA sumbang 4.5 tan buah untuk haiwan

Rosli (kanan) dan Che Ku Mohd Zamzuri (kiri) memberi gajah makan pisang dan labu yang disumbangkan FAMA Pahang di PKGK Kuala Gandah, Lancang pada Ahad.
Rosli (kanan) dan Che Ku Mohd Zamzuri (kiri) memberi gajah makan pisang dan labu yang disumbangkan FAMA Pahang di PKGK Kuala Gandah, Lancang pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 4.5 tan pelbagai jenis buah disumbangkan kepada beberapa individu yang menjalankan pembiakbakaan haiwan di bawah seliaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lancang.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang, Noh Nik Wan berkata, sumbangan itu membabitkan sebanyak 1.5 tan labu manis termasuk satu tan pisang nangka untuk makanan 32 gajah di Kuala Gandah.

Menurutnya, minggu lalu, pihaknya sudah menyumbangkan lebih dua tan pisang, nanas, keledek dan labu manis kepada empat individu yang menjalankan pembiakbakaan dalam kurungan komersial di bawah Jabatan Perhilitan di daerah ini serta di Pekan, Lipis dan Bentong.

"Empat individu itu memiliki pelbagai haiwan eksotik seperti landak raya, rusa dan pelanduk. Jadi, mereka dibantu untuk mendapat bekalan makanan mencukupi bagi haiwan terbabit," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Pada Ahad, FAMA Pahang diketuai Ketua Cawangan Komunikasi Korporatnya, Mejar Rosli Zakaria menyumbang 2.5 tan pisang nangka dan labu manis kepada PKGK Kuala Gandah.

Hadir sama Pengurus Pusat Khidmat Pemasaran FAMA Kuantan, Faris Abdullah yang bertanggungjawab menyediakan bantuan berkenaan.

Noh menjelaskan program itu adalah tanggungjawab sosial korporat yang bukan sahaja memberi kebaikan kepada penerima sumbangan tetapi dapat membantu mengelak berlakunya lambakan hasil pertanian apabila pekebun tidak dapat memasarkan keluaran mereka susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0

Sementara itu, Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, pihaknya memperuntukkan perbelanjaan RM1 juta setahun bagi menyediakan makanan untuk 32 gajah.

Artikel Berkaitan: