Tiada halangan ibadah korban di Perak

Razman menyerahkan agihan ayam kepada penduduk.
Razman menyerahkan agihan ayam kepada penduduk.
A
A
A

BAGAN SERAI - Kerajaan negeri Perak tiada halangan untuk membenarkan ibadah korban dilaksanakan sempena Aidiladha ini.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, pihaknya dimaklumkan kebenaran itu akan diberikan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Saya difahamkan ada beberapa negeri tidak digalakkan adakan korban, di Perak setakat ini positif, tiada masalah untuk melaksanakan ibadah itu, cuma mungkin dengan SOP ketat yang dibenarkan.

"Perkara itu akan ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang kemudian nanti akan mewartakan SOP berkaitan yang perlu dipatuhi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan keperluan dapur kepada penduduk Kampung Selamat, Gunung Semanggol di sini pada Isnin.

Menurut beliau, bekalan ternakan bagi tujuan korban di negeri ini adalah mencukupi meskipun sebelum ini timbul isu ternakan lembu dan kerbau yang dijangkiti penyakit kulit kental atau Lumpy Skin Disease (LSD).

"Disebabkan risiko penularan penyakit ini juga kerajaan telah menggantung pengimportan lembu dan kerbau dari Thailand.

"Tetapi perkara ini langsung tidak menjejaskan bekalan ternakan di negeri ini, kita masih ada alternatif lain dan kita beri jaminan bekalan di Perak adalah mencukupi," katanya.

Dalam pada itu, Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, sumbangan kali ini menyaksikan lebih 100 ekor ayam diagihkan kepada setiap isi ketua rumah di Kampung Selamat secara pandu lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia adalah kesinambungan daripada program sebelum ini yang menyasarkan setiap kampung menerima bantuan makanan bagi meringankan beban menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sebelum ini, kita serahkan makanan kering seperti beras, minyak, gula, telur dan sayuran, kali ini kita agihkan ayam pula supaya mereka ada lauk untuk dimakan," katanya.