'Saya lukis supaya mereka mudah faham'

Info grafik yang dikongsikan Najib di Facebooknya pada Isnin. - Foto FB Najib Razak
Gambar kecil: Najib
Info grafik yang dikongsikan Najib di Facebooknya pada Isnin. - Foto FB Najib Razak Gambar kecil: Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa beliau sudah berpuluh kali memberi amaran bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jenis 'separuh masak' yang berulang kali dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya akan melindungi golongan berada.

Menerusi perkongsian di Facebook rasminya, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pelaksanaan perintah separuh masak itu sebaliknya akan menghukum majoriti rakyat biasa termasuk golongan yang tidak patut dan mampu dihukum.

"Saya lukis supaya mereka mudah faham. Sejak bulan Januari, saya dah berpuluh kali beri amaran bahawa PKP jenis separuh masak yang berulang kali dibuat kerajaan PN hanya akan lindung golongan yang kaya tapi akan hukum majoriti rakyat biasa termasuk golongan yang paling tidak patut dan tidak mampu dihukum.

"Nak berkorban untuk perang Covid? Semua berkorban sama-sama untuk seketika seperti PKP 1.0 lepas yang panjangnya cuma 45 hari supaya semua dapat kembali ke kehidupan biasa secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata, sepatutnya bukannya rakyat yang diheret berpanjangan sehingga satu persatu terkorban dan seluruh tahun ini dibazirkan begitu sahaja.

"Bukan majoriti rakyat diheret berpanjangan sehingga satu persatu terkorban dan seluruh tahun 2021 terbazir begitu sahaja. Barulah adil.

"Makin berpanjangan, makin jahanam rakyat biasa dari golongan B40 dengan M40," katanya.

Sebelum itu, dalam posting berlainan, beliau berkata, pada Isnin adalah hari ke-41 sejak PKP 3.0 seluruh negara bermula dan hari ke-21 Sekatan Pergerakan Penuh dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Menurut Najib, masih terdapat sekurang-kurangnya 74 hari lagi untuk berkurung bagi fasa 1 dan 2 'total lockdown' jika perintah itu tidak dilanjutkan lagi dan kebanyakan sektor bukan 'essential' dibenar beroperasi semula pada 1 September sekiranya syarat kes baharu jatuh ke bawah 2,000 dan 40 peratus penduduk selesai divaksin berjaya dicapai.

Jelasnya, sejak permulaan tahun ini, rakyat sudah berkurung selama 92 hari setakat ini (PKP 2.0: 51 hari, PKP 3.0: 41 hari sejak 12 Mei).

Najib berkata, warga Kelantan lebih terseksa kerana PKP 3.0 bermula lebih awal iaitu pada 16 April.

"Setakat ini, jumlah bantuan BPR (Bantuan Prihatin Rakyat) fasa 1 dan 2 yang diterima bagi menghadapi 92 hari ini hanya RM600 bagi isi rumah berpendapatan RM2,501 ke RM4,000 atau RM6.52 sehari bagi setiap hari bawah PKP.

Bagi bujang dengan pendapatan di bawah RM2,500 pula, jumlah bantuan diterima setakat ini ialah RM350 atau RM3.80 bagi setiap hari dikurung bawah PKP.

"Yang lagi perit ialah masih ada 74 hari untuk berkurung lagi. Itupun jika syarat-syarat bagi fasa 3 berjaya dicapai dan fasa 1 yang sudahpun dilanjut sekali tidak dilanjutkan lagi.

"Kerajaan PN sudah mengambil beberapa langkah yang amat salah seperti membuat PKP secara separuh masak, turunkan tempoh kuarantin bagi pelawat asing dari 14 hari ke tujuh hari dan membuka semula sekolah bersemuka pada ketika kes baharu lebih tinggi berbanding masa PKP 2.0 bermula," katanya.

Katanya, ia berlaku walaupun sudah berkali-kali diberi amaran oleh beliau kerana terlalu jelas bahawa ia adalah langkah-langkah tak logik dan membahayakan rakyat.