X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Morata tak layan kritikan

MORATA
A
A

PENYERANG Sepanyol, Alvaro Morata tidak mahu melayan kritikan yang dilemparkan kepadanya mahupun pasukan selepas aksi hambar dipamerkan La Roja dalam saingan Euro 2020 kali ini.

Menurutnya, Sepanyol terpaksa berhadapan dengan jangkaan tinggi daripada penyokong walaupun semua pihak menyedari bahawa pasukan kali ini bukanlah antara yang terbaik dimiliki Sepanyol.

"Jika kami mendengar kritikan, ia tidak akan membantu kerana kesemua mereka hanya menunggu kami melakukan kesilapan dan mengkritik apa yang telah kami lakukan.

"Pada kebiasaannya apabila pasukan besar berada dalam kejohanan seperti ini, ada rasa perpaduan antara mereka. Kami tahu kami perlu mengikut jejak generasi pasukan yang sebelum ini hebat, namun amat sukar untuk kami menjadi seperti mereka.

"Tetapi, kami percaya mampu memberikan yang terbaik dan mempercayai diri kami sendiri dalam usaha meneruskan kemaraan dalam saingan Euro kali ini," katanya.

Sepanyol ketika ini sedang bergelut untuk meraih slot ke pusingan 16 pasukan terakhir selepas hanya merekodkan dua keputusan seri ketika bertemu Sweden dan Poland sekali gus meletakkan pasukan itu di kedudukan ketiga kumpulan E.

Ia sekali gus menimbulkan banyak kritikan daripada penyokong yang mahukan Sepanyol kembali berada pada tahap terbaik seperti beberapa tahun sebelum ini.

Morata yang mendapat kepercayaan mengemudi jentera serangan gergasi Eropah itu mengakui pemain pasukan itu menghadapi kesukaran untuk memenuhi harapan setiap pihak selain menyaingi generasi pasukan terdahulu.

Sepanyol menjulang trofi Euro buat kali kedua pada tahun 2008 sebelum menjadi negara pertama yang memenangi pertandingan tersebut secara berturut-turut empat tahun kemudian selain turut mengecapi kejayaan Piala Dunia pada tahun 2010.

Pasukan Sepanyol pada ketika itu dibarisi pemain seperti Andres Iniesta, Xavi, Fernando Torres, David Villa dan Sergio Ramos yang berada di puncak prestasi mereka menyaksikan La Roja merupakan pasukan yang sukar untuk dibendung namun, skuad ini sedang melalui fasa peralihan di bawah kendalian Luis Enrique.

Dalam pada itu, Morata percaya pasukannya itu akan mampu mara ke pusingan 16 terakhir dengan syarat mencatatkan kemenangan ke atas Slovakia pada Khamis ini.

"Peluang untuk kami belum tertutup dan kami masih boleh mara. Kami cuma perlu bermain baik dan harapkan sokongan daripada penyokong untuk memastikan kemaraan kami," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!