Ringgit susut berbanding dolar AS pagi ini

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi Isnin dengan mood optimis terhadap dolar AS dalam kalangan pelabur yang berterusan. - Gambar hiasan
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi Isnin dengan mood optimis terhadap dolar AS dalam kalangan pelabur yang berterusan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi Isnin dengan mood optimis terhadap dolar AS dalam kalangan pelabur yang berterusan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Terbuka Persekutuan (FOMC) minggu lepas terus mengukuhkan mata wang itu.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan menyusut kepada 4.1430/1470 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1410 pada penutupan urus niaga Jumaat minggu lepas.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, kadar faedah yang mungkin dinaikkan lebih awal daripada jangkaan seperti yang dibayangkan oleh FOMC minggu lepas di tengah-tengah pemulihan ekonomi yang semakin baik telah memberikan tekanan kepada ringgit.

Dalam perkembangan lain, situasi keseluruhan pandemik di Malaysia juga semakin baik seperti yang diperlihatkan oleh kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang berkurangan kepada 94.0 peratus pada 15 Jun berbanding rekod tinggi 108.0 peratus pada 2 Jun.

“Selain itu, jumlah dos pemberian vaksin setiap hari di dalam negara juga kekal melepasi 150,000 setiap hari untuk enam hari berturut-turut sejak Isnin lepas sehingga Sabtu.

“Ini seharusnya dijadikan pemangkin positif untuk ringgit minggu ini. Sehubungan itu, mata wang tempatan mungkin diniagakan dalam julat RM4.14 hingga RM4.15 berbanding dolar AS hari ini,” kata beliau kepada Bernama.

Pada paras pembukaan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0787/0821 berbanding 3.0851/0875 pada penutupan Jumaat, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7269/7324 daripada 5.7526/7568 dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.9173/9221 daripada 4.9308/9344.

Artikel Berkaitan:

Ringgit, bagaimanapun, lemah berbanding yen Jepun kepada 3.7585/7625 daripada 3.7570/7598 sebelumnya. - Bernama