NEKMAT pamer teknologi nelayan laut dalam

Orang ramai yang hadir di pavilion NEKMAT.
A
A

NEKMAT dedah peluang anak muda terlibat industri tangkapan ikan cara moden

Pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA2018) berpeluang merasai pengalaman memandu bot sebenar menerusi simulasi bot di Pavilion Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) di Hall A, Maeps, di sini.

Timbalan Pengurus Besar NEKMAT, Azrin Shah Ismail berkata, simulasi bot yang disediakan memaparkan bot moden vessel besi digunakan nelayan untuk aktiviti tangkapan ikan di laut dalam. Menurutnya, selain simulasi mengendalikan bot, turut dipamerkan di pavilion itu adalah teknologi digunakan oleh nelayan laut dalam bagi aktiviti menangkap ikan seperti navigasi kesan bunyi (sonar), radio walkie-talkie serta echo sounder bagi mengesan makanan serta tempat tumpuan ikan di laut. "Teknologi ditampilkan ini bertujuan mengajak anak muda turut terlibat dalam industri tangkapan ikan dan tidak hanya menangkap ikan menggunakan sampan," katanya.







Kanak-kanak turut mencuba simulasi bot NEKMAT yang disediakan.
Kanak-kanak turut mencuba simulasi bot NEKMAT yang disediakan.

Selain itu katanya, MAHA2018 adalah medium terbaik untuk agensi itu mempamerkan fungsi dan peranan mereka kepada masyarakat, khasnya nelayan. Menurutnya, setiap pengunjung yang singgah ke pavilion berkenaan diberi informasi mengenai rantaian nilai dalam industri perikanan yang dikendalikan agensi itu.







AZRIN SHAH
AZRIN SHAH

"Selain membekalkan minyak diesel dalam sektor perikanan, NEKMAT turut menjalankan aktiviti memasarkan ikan segar dan sejuk beku, selain memproses serta memasarkan produk hasil perikanan dan mengeluarkan air batu untuk sektor perikanan," ujarnya. Pada masa sama, jualan makanan proses hasil ikan jenama Enna di pavilion NEKMAT turut mendapat sambutan menggalakkan.

Selain produk naget ikan dan jejari ikan, keropok lekor jenama Enna hasil Bumiputera yang dikilangkan di Puchong Selangor, mencatatkan hasil jualan membanggakan sepanjang MAHA2018. Turut dipamerkan, projek robotik yang dihasilkan oleh Sekolah Kebangsaan Indra Shahbandar, Pahang sebagai menyahut seruan membangunkan teknologi kepada anak-anak nelayan.