X

Kindly register in order to view this article
!

HM4P UMNO sumbang RM828,000 kepada Masjid Al-Aqsa

Sheikh Umar, Abdul Satar Al-Qudah, Dr Mohammad, Abdul Azeez, Fathul Bari Mat Jahya dan Datuk Jilid (kanan sekali) ketika menyerahkan sumbangan Tabung Al-Aqsa di Amman pada Isnin.
A
A

SHAH ALAM - Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) menyerahkan sumbangan Tabung Al-Aqsa berjumlah RM828,000 kepada Menteri Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan, Dr Mohammad Al-Khalaileh sambil disaksikan Pengerusi Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Umar Fahmi Al-Kiswani di pejabat menteri itu di Amman pada Isnin.

Kutipan sumbangan melalui Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) itu diserahkan selepas sehari Pengerusi BKUM, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bersama rombongannya tiba di negara berkenaan bagi misi tersebut.

Menurut Abdul Azeez, sumbangan itu bagi membaikpulih, menambah baik dan memenuhi keperluan berkaitan pengurusan dan penyelenggaraan Masjid Al-Aqsa.

“Penyerahan dana ini adalah bertujuan menyampaikan solidariti kita kepada rakyat Palestin, ini keutamaan kita.

“Kita juga berhasrat untuk menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin di Jordan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Hadir sama pada majlis penyerahan tersebut, Duta Besar Malaysia ke Jordan, Datuk Jilid Kuminding; Pengarah Direktorat Al-Quds Awqaf, Dr Abdul Satar Al-Qudah dan Timbalan Pengerusi BKUM, Datuk Dr Datuk Fathul Bari Mat Jahya.

Dalam pada itu, Sheikh Umar mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia terutama UMNO di atas sumbangan kepada Masjid Al-Aqsa.

“Dana RM828,000 ini akan digunakan untuk pembangunan atau pemulihan Masjid Al-Aqsa kesan serangan (rejim zionis Israel) baru-baru ini, di mana kerosakan berlaku kepada beberapa bahagian masjid,” katanya.

Sementara itu, menurut Jilid, sumbangan itu disalurkan secara terus kepada kementerian berkenaan kerana ia yang bertanggungjawab mentadbir Masjid Al-Aqsa dan Baitulmaqdis di bawah penjagaan Raja Abdullah II dari Jordan.

Selain itu, difahamkan kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra turut menyampaikan sumbangan kepada Masjid Al-Aqsa dan warga Palestin.

Setiap tahun Jordan memperuntukkan RM74.50 juta untuk pengurusan dan penyelenggaraan Masjid al-Aqsa, termasuk membayar gaji pekerja-pekerjanya selain lebih 300 petugas yang menjaga keselamatan masjid itu daripada diceroboh sewenang-wenangnya oleh zionis.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!