X

Kindly register in order to view this article
!

Trio recurve wanita pula gagal ke Olimpik Tokyo

Trio recurve wanita (dari kiri) Syaqiera Mashayikh, Nur Ain Ayuni dan Nurul Azreena serta jurulatih, Muhammad Marbawi Sulaiman. - Foto FB National Archery Association of Malaysia.
A
A

KINI giliran pasukan wanita pula terlepas peluang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo di Jepun, bulan depan selepas trio memanah recurve lelaki negara

Trio yang diwakili Syaqiera Mashayikh, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Nur Ain Ayuni Fozi tersingkir seawal pusingan pertama di tangan skuad Brazil dalam kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik 2020 di Paris, Perancis pada Ahad berdasarkan keputusan menerusi laman worldarchery.sport.

Pasukan kebangsaan tidak berupaya menyaingi kehebatan panahan gandingan dari Amerika Selatan itu yang dibarisi Ane Marcelle Dos Santos, Sarah Nikitin dan Ana Luiza Sliachticas Caetano selepas mudah menewaskan mereka dengan keputusan 6-2 untuk mara ke pusingan kedua kejohanan.

Hanya tiga slot menjadi rebutan bagi kempen kelayakan terakhir Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos.

Setakat ini, sembilan pasukan telah layak beraksi dalam acara recurve berpasukan wanita pada temasya sukan terbesar dunia iaitu Belarus, China, Taiwan, Great Britain, Jerman, Jepun, Korea, Rusia dan Ukraine.

Pada Sabtu, trio memanah recurve lelaki negara diketuai Khairul Anuar Mohamad, Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli dan Muhammad Akmal Nor Hasrin tersingkir pada peringkat suku akhir selepas kalah 2-6 kepada pasukan Ukraine yang dibarisi Oleksii Hunbin, Heorhiy Ivanytskyy dan Ivan Kozhokar.

Saingan pada Sabtu menyaksikan Amerika Syarikat, Indonesia dan Perancis melengkapkan tiga kuota terakhir bagi acara recurve berpasukan lelaki dan menyertai sembilan lagi skuad yang sebelum ini telah menempah slot ke Tokyo iaitu Australia, China, Taiwan, Great Britain, India, Jepun, Kazakhstan, Korea dan Belanda.

Khairul Anuar terlebih dahulu mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Memanah Dunia di Hertogenbosch, Belanda pada Jun 2019.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan menjadi penampilan ketiga buat Khairul Anuar, 29, selepas edisi London 2012 dan Rio 2016, yang turut menyaksikan Muhammad Akmal membuat penampilan pertamanya pada temasya di Brazil itu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!