Langkah KPM dapat ringankan beban guru: NUTP

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar kecil: Aminuddin
Gambar hiasan. - Foto 123RF Gambar kecil: Aminuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat pengambilan khas guru pada tahun ini merupakan langkah tepat bagi meringankan beban tugasan sedia ada yang ditanggung oleh guru di seluruh negara.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, masalah kekurangan guru di sekolah sememangnya sesuatu yang kritikal dan telah lama berlaku di Malaysia.

Malah katanya, trend persaraan guru lama yang berlaku ketika ini disebabkan tidak sanggup menghadapi cabaran persekolahan baharu turut menjadi penyumbang kepada masalah tersebut.

“Kita pun tidak jangka kerajaan akan ambil pendekatan itu dan ia cukup menggembirakan kita sebab apabila guru ini diambil maksudnya secara langsung bebanan tugas guru di sekolah itu akan dapat berkurangan.

“Ada guru yang terpaksa mengajar banyak subjek dan lebih waktu sebab sekolah tidak cukup tiga ke empat guru. Jadi bila ada guru ini (pengambilan khas), ia akan meleraikan masalah mereka ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut mengenai pengambilan khas one-off sejumlah 18,702 guru bagi gred DG41 yang turut dibuka kepada graduan bukan bidang pendidikan bagi mengatasi isu kekurangan guru, Aminuddin berkata, beliau meminta supaya langkah yang diambil KPM itu dilakukan bukan hanya untuk menyelesaikan isu graduan menganggur.

Menurut beliau, dalam pertimbangan bagi pengambilan khas itu, KPM perlu memastikan bahawa mereka yang terpilih itu adalah berkualiti dan individu yang benar-benar mahu menjadi pendidik.

“Yang kedua, kita harapkan dari segi pengambilan itu nanti, KPM mempertimbangkan supaya mereka ini tidak ditempatkan di negeri-negeri yang ada permintaan pertukaran yang tinggi oleh guru sedia ada.

Artikel Berkaitan:

“Yang ketiga, ketika ini berlakunya jurang yang mana guru perempuan lebih ramai daripada guru lelaki. Jadi, kita berharap agar KPM beri pertimbangan supaya aspek jurang itu dapat ditangani,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: KPM buka pengambilan khas 18,702 guru gred DG41