X

Kindly register in order to view this article
!

Tangani isu ‘generasi yang hilang’

Dalam masa 12 bulan ini, jutaan pelajar telah tertinggal dalam banyak aspek pendidikan seperti subjek pelajaran, kepimpinan, kokurikulum, sukan dan pelbagai lagi. - Gambar hiasan
A
A
BANYAK kajian di peringkat antarabangsa telah membangkitkan satu isu yang agak membimbangkan iaitu kewujudan generasi yang hilang atau the lost generation yang akan mewarisi masa depan kita.

Generasi ini terbentuk hasil daripada pelbagai sekatan yang terpaksa dilalui manusia pada ketika ini demi menghentikan penularan wabak Covid-19.

Menurut Laporan Bank Dunia, penutupan sekolah akibat Covid-19 menyebabkan kebanyakan pelajar di dunia tidak dapat bersekolah. Ia mencecah 1.6 bilion pelajar pada April 2020 dan pastinya jumlah ini akan terus meningkat sekiranya pandemik ini masih belum dapat dikawal.

Apabila ini berlaku, bermulalah episod kecelaruan malah kemusnahan dalam dunia pendidikan khususnya di peringkat sekolah di serata dunia. Kesan lebih buruk dirasai pelajar-pelajar sekolah di negara miskin dan kalangan negara dunia ketiga.

Kajian Bank Dunia turut mendapati penutupan sekolah disebabkan Covid-19 berisiko menyebabkan 72 juta murid sekolah berdepan ancaman 'kemiskinan pembelajaran' yang bermakna mereka tidak boleh membaca dan memahami teks mudah pada usia 10 tahun.

UNICEF dalam laporan yang bertajuk Averting a Lost COVID Generation telah melaporkan bahawa walaupun jangkitan Covid-19 terhadap kanak-kanak dan remaja bawah 20 tahun adalah kecil iaitu 1 dari 9, namun kesan jangka panjang terhadap pendidikan, pemakanan dan kesejahteraan seluruh generasi kanak-kanak dan orang muda dijangka akan menjejaskan kehidupan masa depan mereka.

Oleh kerana kesiapsiagaan pemerintah agak lemah dalam menangani masalah keciciran pendidikan ini, ditambah dengan kekurangan infrastruktur pembelajaran atas talian seperti peranti ICT, kemudahan internet, kandungan pembelajaran atas talian dan juga persediaan para guru turut memburukkan keadaan.

Dalam masa 12 bulan ini, jutaan pelajar telah tertinggal dalam banyak aspek pendidikan seperti subjek pelajaran, kemahiran komunikasi, insaniah, interpersonal, kepimpinan, kokurikulum, sukan dan pelbagai lagi.

Bayangkan, apabila mereka yang sepatutnya berada di sekolah selama lebih 40 minggu dalam setahun takwim persekolahan namun hanya mampu hadir ke sekolah selama 10 hingga 20 minggu sahaja! Di sesetengah tempat ada yang terus tidak dapat ke sekolah.

Bagi pelajar dari keluarga miskin ataupun yang tinggal jauh di ceruk pedalaman, situasi mereka berganda lebih menyulitkan. Bagaimana para pelajar ini belajar? Berapa peratus dari pengisian persekolahan yang mereka perolehi dangan pembelajaran dari rumah ini?

Ini belum lagi mengambil kira keciciran pembelajaran bagi golongan pelajar OKU atau pendidikan khas. Bagaimana jika pandemik ini berlarutan lagi setahun atau beberapa tahun lagi? Jelas, anak-anak kita merasa tertekan kerana tidak dapat bersekolah. Apabila wabak ini berakhir kelak, mereka bukan sahaja ketinggalan malah kehilangan ilmu pengetahuan, bakat dan kemahiran. Inilah kebimbangan dunia pada ketika ini.

Di Malaysia, masih belum ada satu kajian dan cadangan penyelesaian yang bersepadu bagi mengatasi isu generasi yang hilang ini. Kebimbangan mengenai generasi yang hilang ini telah mula rancak diperbincangkan di pelbagai wacana kajian, forum, webinar mahupun penulisan.

Sudah tiba masanya, kerajaan melalui kementerian-kementerian yang berkaitan, berganding bahu bersama pihak-pihak yang berkepentingan merangka satu pelan strategik jangka panjang khusus bagi menangani isu generasi yang hilang ini. Fokus harus melangkaui usaha menghentikan rantaian penularan Covid-19.

Isu generasi yang hilang ini bukan lagi isu picisan yang boleh dipandang remeh. Isu ini akan menjadi krisis global. Oleh itu kerajaan perlu bersedia untuk memberi sokongan dan pelaburan kewangan yang sucukupnya demi memastikan negara tidak kehilangan upaya daya maju dan modal insan berkualiti di masa depan sekiranya isu ini tidak ditangani dengan bijak.

* Shafry Salim ialah Timbalan Pendaftar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!