Sabar hadap kritikan penyokong

Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad
Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad
A
A
A

KESEDIAAN pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berminat menguruskan skuad Harimau Malaya harus dilihat dari sudut pandang positif.

Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad berkata, Tunku Ismail mampu membawa aura positif jika kena dengan falsafah bola sepak yang mahu dibawanya.

Malah, Redzuan optimis Tunku Mahkota Johor (TMJ) berupaya memacu Harimau Malaya ke peringkat lebih tinggi bersandarkan kepada kemampuannya menerajui JDT sejak beberapa musim lalu.

“Tunku Ismail sudah membuktikan apa yang telah dilakukannya bersama JDT sehingga hari ini. Jadi Tunku Ismail amat layak untuk menguruskan pasukan kebangsaan.

“Bagi saya, ia sudah tentu akan memberikan banyak manfaat kepada pasukan kebangsaan sekiranya Tunku Ismail berada bersama-sama dalam pengurusan pasukan kebangsaan.

“Cuma untuk menjadi sebuah pasukan terbaik, ia memerlukan masa... bukan boleh berlaku dalam masa yang singkat. Saya harap penyokong tak terlalu beri tekanan kepada Tunku Ismail untuk menguruskan pasukan kebangsaan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN:TMJ tawar diri perkasa Harimau Malaya

Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) dilantik sebagai Presiden FAM pada 25 Mac 2017 apabila menang tanpa bertanding dalam Kongres ke-53 FAM.

Namun, Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu melepaskan jawatannya pada 15 Mac 2018 - hanya 365 hari selepas menduduki ‘kerusi panas’ badan induk bola sepak negara itu.

Artikel Berkaitan:

Tunku Ismail mendedahkan tindakannya melepaskan jawatan sebagai Presiden FAM adalah demi kelangsungan dan meningkatkan mutu bola sepak negara.

“Kesudian Tunku Ismail untuk mengambil alih FAM itu sebagai sesuatu yang baik dan harus dipuji. Tetapi seperti yang saya katakan tadi, Tunku Ismail harus bersabar menerima kritikan serta pandangan penyokong.

“Pesan saya, Tunku Ismail kena pekakkan telinga sekiranya pasukan kebangsaan dikritik ekoran prestasi buruk atau gagal mencipta kejayaan sepertimana yang diharapkan,” jelasnya.