Situasi menang-menang kepada KPM, graduan universiti

Gambar kecil: Alimuddin
Gambar kecil: Alimuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan membuat pengambilan khas secara one-off bagi mengisi kekurangan guru di seluruh negara dilihat sebagai situasi menang-menang bagi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan graduan.

Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, keputusan tersebut merupakan peluang keemasan buat graduan universiti dan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat untuk menjadi guru.

Menurutnya, situasi itu juga memberi peluang kepada KPM untuk memilih dan mendapatkan calon guru yang terbaik.

“KPM boleh mendapatkan calon yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan lebih luas,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Alimuddin berkata, pertambahan penduduk Malaysia juga menyebabkan lebih banyak sekolah baru dibina sekali gus memerlukan lebih ramai guru.

“Kekosongan tersebut perlu diisi kerana kekurangan guru akan menimbulkan masalah kepada sekolah untuk menjadikan pendidikan kita yang terbaik dan bermutu.

“Bukan saja jumlah guru diambil kira, tetapi calon juga mesti mempunyai kemahiran yang baik untuk subjek yang diajar,” ujarnya.

Katanya, KPM pasti sudah menetapkan terlebih dahulu bilangan guru yang diperlukan bagi setiap subjek daripada jumlah pengambilan sebanyak 18,702 itu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, banyak universiti yang menawarkan fakulti pendidikan seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

“Kita patut bersyukur kerana sudah tentu peluang mereka yang berminat nak jadi guru akan terbuka luas,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: KPM buka pengambilan khas 18,702 guru gred DG41