Ebrahim Raisi dipilih Presiden baharu Iran

Rouhani (kiri) ketika menyertai sidang media bersama bakal penggantinya, Raisi sewaktu beliau mengadakan lawatan untuk mengucapkan tahniah atas kemenangannya pada Sabtu. - Foto: AFP
Rouhani (kiri) ketika menyertai sidang media bersama bakal penggantinya, Raisi sewaktu beliau mengadakan lawatan untuk mengucapkan tahniah atas kemenangannya pada Sabtu. - Foto: AFP
A
A
A

TEHERAN - Ulama ultrakonservatif, Ebrahim Raisi pada Sabtu dipilih sebagai Presiden baharu selepas diisytiharkan sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden Iran 2021 dalam pemilihan kontroversi berikutan ramai calon politik berpengaruh dilarang bertanding.

Keputusan akhir diumumkan Kementerian Dalam Negeri menunjukkan Raisi memperoleh 62 peratus undi hasil undian yang berlangsung pada Jumaat lalu yang menyaksikan jumlah kehadiran pengundi yang rendah dengan 48.8 peratus.

“Saya mengucapkan tahniah kepada rakyat atas pilihan mereka,” kata pendahulunya, Hassan Rouhani yang telah berkhidmat selama empat tahun bagi tempoh dua penggal berturut-turut dan akan menamatkan perkhidmatannya pada Ogos depan.

Rouhani juga menyatakan kesediaan beliau untuk menawarkan sebarang kerjasama atau bantuan kepada penggantinya.

Raisi, 60, mengambil alih tampuk pemerintahan pada saat genting berikutan Teheran sedang berusaha menyelamatkan perjanjian nuklear bersama kuasa dunia dan membebaskan Iran daripada sekatan Amerika Syarikat yang telah memburukkan lagi krisis ekonomi negara itu.

“Insya-ALLAH kita akan lakukan yang terbaik untuk masa depan rakyat yang lebih baik,” ujarnya yang berikrar mahu menguatkan kepercayaan awam untuk hidup yang lebih cerah secara bersama-sama.

Sebelum ini, beliau berkempen dengan slogan ‘Pentadbiran Popular, Iran Yang kuat’ dan kempennya memperjuangkan usaha membasmi kemiskinan, mewujudkan peluang pekerjaan dan membanteras inflasi serta rasuah.

Difahamkan, beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Badan Kehakiman Iran sejak tahun 2019 dan beberapa jawatan lain di bawah cabang kehakiman. - AFP

Artikel Berkaitan: