Fasa tiga program imunisasi kebangsaan di Lembah Klang esok

Muhyiddin bergambar bersama wakil agensi sukarelawan ketika membuat lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di KLCC hari ini. Turut hadir Khairy Jamaluddin. -Foto Bernama
Muhyiddin bergambar bersama wakil agensi sukarelawan ketika membuat lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di KLCC hari ini. Turut hadir Khairy Jamaluddin. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelaksanaan fasa tiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi Lembah Klang akan bermula esok di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, kata Menteri Penyelaras program itu Khairy Jamaluddin.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, pihaknya membuat ketetapan tersebut selepas 99 peratus warga emas di Lembah Klang dan 88 peratus di Selangor yang berdaftar untuk mendapatkan vaksin, telah menerima suntikan dos pertama atau mendapat tarikh janji temu masing-masing.

Katanya, individu yang telah berdaftar bermula 23 Februari lalu akan menerima tarikh janji temu mereka mulai esok untuk divaksinasi di PPV terbabit.

"Daripada kita tunggu selesai 100 peratus yang berdaftar untuk mendapat suntikan vaksin, saya buat keputusan kita mulakan fasa tiga ini (selepas warga emas selesai disuntik) supaya fasa itu dapat dicepatkan.

"Mana-mana negeri yang telah mencapai 90 peratus pemberian vaksin dos pertama atau mereka yang berdaftar telah mendapat tarikh janji temu, maka kita akan buka fasa ketiga program imunisasi ini," katanya pada sidang media bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengenai Pelan Pemulihan Negara - Vaksinasi Kunci Kepada Pemulihan Ekonomi hari ini.

Khairy menjelaskan, walaupun fasa tiga bermula esok bagi kawasan Lembah Klang, sekiranya terdapat warga emas yang berdaftar selepas itu, mereka akan diberi keutamaan dalam senarai penerima suntikan vaksin.

Pada Mac lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, vaksinasi untuk fasa ketiga melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas akan bermula dari Mei 2021 hingga Februari 2022.

Dalam pada itu, Khairy menjelaskan prestasi Malaysia dalam pemberian suntikan vaksin adalah baik malah sangat kompetitif jika dibandingkan dengan beberapa negara jiran, serta tidak jauh ketinggalan dengan Jepun yang merupakan negara maju di Asia.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya kapasiti pemberian (suntikan vaksin) bukan masalah, tapi (masalah) ialah jadual penghantaran vaksin disebabkan vaccine inequality di seluruh dunia dan kerajaan sedaya upaya berusaha mendapatkan vaksin secepat mungkin.

"Kita akan mendapat bekalan 12.8 juta dos vaksin pada Julai dan 14.4 juta pada Ogos tertakluk kepada penghantaran, ini perjanjian yang diberikan oleh pembekal dan ini akan membolehkan kita mencapai sasaran 80 peratus daripada populasi di negara ini mendapat suntikan vaksin lebih awal daripada bulan Disember," katanya.

Mengenai status penerimaan vaksin, Khairy berkata, setakat 18 Jun lalu, Malaysia telah menerima empat juta dos vaksin Pfizer-BioNTech daripada keseluruhan 44.8 juta yang ditempah, manakala Sinovac sebanyak 3.7 juta daripada tempahan 12 juta, selain memperoleh 828,000 dos vaksin AstraZeneca daripada 7.8 juta yang ditempah.

Ditanya sebab kerajaan tidak memperluas penggunaan vaksin keluaran CanSino Biologics Inc, China serta Johnson & Johnson yang hanya memerlukan satu dos suntikan, Khairy berkata, buat masa ini bekalan Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac adalah mencukupi.

"Johnson & Johnson dan CanSino ini keberkesanannya adalah lebih 65 peratus. Ini akan kita gunakan untuk populasi yang sukar nak dihubungi seperti pedalaman Sabah, Sarawak dan pantai timur, pelarian yang sukar untuk buat dua kali janji temu.

"Jika kedua-dua vaksin ini diperlukan, kita akan buat keputusan dari semasa ke semasa tertakluk kepada kewangan negara," katanya.

Dalam pada itu, Khairy menjelaskan, jumlah vaksinasi harian berkurang pada hujung minggu disebabkan terdapat PPV yang mengambil satu hari rehat bersesuaian dengan jumlah bekalan vaksin.

"Tetapi mereka telah memberi jaminan kepada saya bila bekalan bertambah pada Julai mereka bersedia beroperasi tujuh hari seminggu," katanya. -Bernama