Rider terima bantuan petrol, makanan

Beberapa penghantar makanan dan barangan bermotosikal (rider) menunggu giliran di Stesen Minyak Petron,Taman Pelangi hari ini. -Foto Bernama
Beberapa penghantar makanan dan barangan bermotosikal (rider) menunggu giliran di Stesen Minyak Petron,Taman Pelangi hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sekumpulan penghantar makanan dan barangan di sini hari ini melahirkan rasa terharu kerana khidmat mereka mendapat perhatian dan dipilih menerima bantuan petrol dan makanan percuma.

Afiq Fariz Zulkifli, 21, berkata sejak menjadi ‘rider’ atau penghantar sepenuh masa dua tahun lepas, ini adalah kali pertama beliau mendapat penghargaan seumpama itu.

“Penghantar makanan dan barangan bermotosikal seperti kami jarang mendapat penghargaan daripada mana-mana pihak. Apabila diberi bantuan minyak petrol dan makanan percuma, rasa dihargai sangat,” katanya ketika ditemui di Stesen Minyak Petron, Taman Pelangi, di sini hari ini.

Beliau antara ratusan penghantar makanan dan barangan yang mendapat manfaat daripada pelaksanaan pemberian petrol dan makanan percuma, cetusan idea Pemuda UMNO Johor di sini dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Makmur Negeri Johor Cawangan Johor Bahru.

Sambil melahirkan rasa kesyukuran, beliau berharap agar inisiatif ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke kawasan lain.

Bagi Khairul Anwar Mohammad, 36, bantuan itu sekurang-kurangnya dapat membantunya menjimatkan perbelanjaan harian, apatah lagi sudah berkeluarga dan mempunyai dua anak kecil.

“Sebelum ini, saya bekerja di Singapura selama empat tahun tetapi saya membuat keputusan berhenti dua tahun lepas kerana berasa terlalu penat dengan bebanan kerja. Mulanya agak mencabar namun lama-kelamaan saya lebih sukakan pekerjaan ini kerana masanya fleksibel dan tidak terlalu penat, pendapatan juga agak baik walaupun dalam tempoh sekatan pergerakan penuh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata, program selama empat hari bermula hari ini itu, disasarkan akan memberi manfaat kepada seramai 400 penghantar bagi meringankan bebanan mereka ketika tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Artikel Berkaitan:

Selain bantuan minyak petrol dan makanan, pihaknya turut menyumbangkan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman percuma kepada golongan berkenaan di samping membantu mereka mendaftarkan diri untuk program vaksinasi Covid-19. -Bernama