Petugas kesihatan, wakil agensi 'turun padang' pujuk orang asli

Dr Ismul Adham Zaini (tengah) bersama wakil dari pihak JAKOA Negeri Sembilan meninjau kawasan untuk bersemuka dengan penduduk bagi memberi penerangan di Kampung Orang Asli Panchor, hari ini. -Foto Bernama
Dr Ismul Adham Zaini (tengah) bersama wakil dari pihak JAKOA Negeri Sembilan meninjau kawasan untuk bersemuka dengan penduduk bagi memberi penerangan di Kampung Orang Asli Panchor, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

JEMPOL - Kurang faham tentang kepentingan vaksin Covid-19, takut kepada jarum suntikan dan lebih percaya kepada perubatan tradisional adalah antara faktor yang menyebabkan tidak ramai dalam kalangan orang asli tampil mendapatkan vaksin itu.

Menyedari hakikat itu, sepasukan petugas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jempol pada Ahad turun padang bersama wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Jempol, wakil Pejabat Parlimen Jempol dan wakil komuniti orang asli bagi meyakinkan penduduk di Kampung Orang Asli Panchor tentang kepentingan vaksin Covid-19, sekali gus memastikan mereka divaksinasi secara sukarela.

Memujuk mereka bukan satu tugas mudah, namun Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Jempol, Dr Ismul Adham Zaini berkata, tanggungjawab itu tetap harus dilaksanakan bagi memastikan hasrat negara untuk mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini dapat direalisasikan.

“Kita akui jumlah masyarakat orang asli yang bersetuju menerima vaksin sebelum ini rendah kerana ramai yang takut dengan jarum dan lebih percaya kepada perubatan tradisional.

“Bagaimanapun setelah kita berikan taklimat dan penerangan termasuk dari rumah ke rumah hari ini, berlaku peningkatan kesedaran sendiri dan ramai yang menyatakan kesanggupan untuk mengambil vaksin pada Selasa nanti,” katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Beliau berkata, penerangan dari rumah ke rumah pada Ahad adalah pertama kali diadakan di daerah ini dengan tumpuan kepada warga emas yang uzur, golongan terlantar dan pesakit sebelum pasukan unit bergerak datang sekali lagi pada Selasa ini bagi memberikan suntikan.

Dr Ismul Adham berkata, selain unit bergerak, pihaknya akan membuka PPV sementara di balai raya atau dewan terbuka di kampung itu bagi memudahkan lebih 100 penduduk mendapatkan suntikan vaksin secara 'walk in'.

Sementara itu, Pegawai Jakoa Daerah Jempol, Jamiri Taman berkata, pihaknya percaya tahap kesedaran dan penerimaan orang asli akan meningkat apabila ramai daripada mereka disuntik vaksin Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Jakoa akan sentiasa bekerjasama dengan PKD bagi membolehkan kesemua mereka divaksinasi,” katanya.

Dalam pada itu, pasangan suami isteri, Mazlan Taki, 71 dan Zainun Abdullah, 51, berkata, mereka bersetuju menerima vaksin selepas berpuas hati dan yakin dengan penerangan yang diberikan oleh petugas kesihatan.

"Apabila doktor datang ke rumah untuk beri penerangan tentang vaksin baru kami kami faham tentang kepentingan vaksin. Vaksin dapat melindungi kita daripada pandemik Covid-19 dan saya tidak sabar untuk menerima suntikan vaksin pada Selasa ini," katanya. - Bernama