X

Kindly register in order to view this article
!

Ancaman gelombang jangkitan ketiga

Pasar Sarojini Nagar di New Delhi sesak dengan pengunjung selepas pihak berkuasa melonggarkan sekatan untuk membendung penularan Covid-19. - Foto: AFP
A
A

NEW DELHI - India berisiko dilanda gelombang jangkitan ketiga Covid-19 lebih cepat daripada tempoh yang dijangkakan kerana kebanyakan individu terus mengabaikan garis panduan kesihatan yang ditetapkan.

Amaran itu dikeluarkan Pengarah All India Institute of Medical Sciences, Dr Randeep Guleria walaupun kes jangkitan harian telah menunjukkan penurunan sejak beberapa minggu lalu.

“Kita mungkin berdepan lonjakan semula kes jangkitan dalam tempoh 12 hingga 16 minggu akan datang, sekali gus mencetuskan gelombang jangkitan baharu,” lapor Times of India memetik kenyataannya pada Ahad.

Menurutnya, varian Delta yang menular dengan cepat di India dipercayai antara punca yang menyebabkan gelombang ‘tsunami’ jangkitan kedua dan terus mengancam sebahagian populasi di negara itu yang masih belum divaksin.

Data terbaharu Kementerian Kesihatan menunjukkan 58,419 kes jangkitan direkodkan dalam tempoh 24 jam yang merupakan angka paling rendah dalam tempoh hampir tiga bulan.

Pada Sabtu, kerajaan pusat menggesa seluruh negeri yang melonggarkan sekatan Covid-19 mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan lonjakan semula kes jangkitan wabak itu setelah negara itu merekodkan 29.9 juta kes jangkitan dan lebih 386,000 kematian.

Ketika ini, New Delhi turut berdepan wabak fungus hitam dengan lebih 30,000 kes jangkitan dan lebih 2,100 kematian.

Para doktor percaya hospital di negara itu yang sesak dan kekurangan bekalan oksigen antara faktor mengakibatkan penularan fungus hitam.

Data Kementerian Kesihatan mendapati kira-kira empat daripada lima pesakit fungus hitam pernah dijangkiti Covid-19 manakala lebih separuh daripadanya menghidap diabetes.

Sebelum ini, India merekodkan kira-kira 50 kes fungus hitam setahun dan laporan terbaharu menunjukkan kebanyakan pesakit pernah dijangkiti Covid-19 dam tiada rekod pernah menghidap kencing manis walaupun ia biasanya menyerang pesakit diabetes. - Agensi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!