X

Kindly register in order to view this article
!

Kedah hasrat buka sektor pelancongan pada November

Kedah berhasrat membuka semula sektor pelancongan domestik khususnya di Pulau Langkawi menjelang November 2021. -Foto Bernama
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah berhasrat membuka semula sektor pelancongan domestik khususnya di Pulau Langkawi menjelang November 2021.

Hasrat itu dapat dilakukan apabila mencapai tahap imuniti kelompok mengikut sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus seperti diumumkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri pada Isnin lepas.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan,Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Mohd Firdaus Ahmad berkata, ini selari dengan pengumuman supaya lebih banyak pihak terlibat dalam industri pelancongan dapat divaksinasi secara besar-besaran bagi mencapai status imuniti kelompok agar sektor pelancongan dapat dibuka semula.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah berkata, hasrat kerajaan negeri sejajar dengan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya bahawa Langkawi antara yang akan diberi keutamaan untuk mendapatkan status imuniti kelompok.

"Ketika ini, populasi penduduk Langkawi ialah 111,500 orang, yang mana jumlah yang layak dan telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin ialah 76,400 orang.

"Jadi, sekurang-kurangnya 30,530 jumlah penduduk yang telah disuntik vaksin diperlukan bagi mencapai tahap imuniti kelompok mengikut sasaran pada September 2021 dan seterusnya meyakinkan orang ramai khususnya pelancong yang telah divaksin akan berkunjung ke sini nanti," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, pihak Kementerian Pelancongan Malaysia bersama agensi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan negeri akan menggembleng tenaga dan usaha mengikut garis masa kempen ditetapkan bagi mencapai maksud ini.

Menurut Mohd Firdaus, antara usaha diambil bagi mencapai imuniti kelompok untuk membuka semula sektor pelancongan termasuklah menyediakan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu atau menyediakan khidmat pemberian vaksin dari rumah ke rumah.

Tambah beliau, kerajaan Persekutuan juga di dalam Pelan Pemulihan Negara ada mempertimbangkan untuk membenarkan pergerakan rentas negeri di dalam fasa keempat Pelan Pemulihan Negara bergantung kepada perkembangan semasa kes jangkitan Covid-19 pada waktu itu.

"Kita seharusnya sedar bahawa pemain industri tempatan telah sekian lama tenat dan sentiasa mengharapkan agar sektor ini dapat dibuka semula walaupun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya.

Mohd Firdaus menjelaskan pembukaan semula industri pelancongan dapat mengimbangi kerugian sekaligus meningkatkan semula pendapatan mereka yang terjejas.

Katanya, beliau menyeru kepada semua pihak agar bersama-sama berjuang ke arah matlamat ini, sentiasa mematuhi SOP dan segera mendaftar bagi mendapatkan vaksin bagi yang belum mendaftar.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!