X

Kindly register in order to view this article
!

Kadar vaksinasi negara penentu pemulihan pendapatan M40

Tengku Zafrul
A
A

PUTRAJAYA - Kadar vaksinasi negara bakal menjadi penentu kepada pemulihan pendapatan golongan yang pada asalnya M40, namun tergelincir menjadi B40 akibat pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kadar vaksinasi ketika ini selari dengan Pelan Pemulihan Negara yang mengunjurkan bahawa ekonomi negara akan dibuka secara berfasa.

“Kita dalam Pelan Pemulihan Negara mengunjurkan bahawa ekonomi akan dapat dibuka secara berfasa bergantung kepada tiga indikator ambang utama.

“Satu ialah vaksin. Kedua ialah jumlah kes harian Covid-19 dan ketiga, kapasiti hospital kita,” katanya ketika sidang akhbar khas bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara maya pada Ahad.

Kerajaan dilapor mewujudkan Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi untuk keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 yang melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peralihan itu menggariskan empat fasa dengan tiga indikator ambang utama.

Terbaharu, media melaporkan krisis Covid-19 memberikan tamparan hebat terhadap tahap pendapatan rakyat Malaysia apabila lebih 600,000 isi rumah berpendapatan pertengahan M40 tergelincir ke dalam kategori golongan berpendapatan rendah B40.

Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (AEC) berkata, sekurang-kurangnya lapan peratus isi rumah menunjukkan penurunan pendapatan di ambang pendapatan maksimum B40 iaitu RM4,850 sebulan.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, ekonomi negara akan pulih sekiranya fasa yang digariskan itu berpindah dengan cepat.

“Insya-ALLAH lebih ramai golongan yang terkesan ini dibantu dan mereka yang telah hilang pekerjaan akan dapat bekerja semula," katanya.

Beliau dalam masa sama turut menjelaskan mengenai definisi baharu golongan B40 dari segi pendapatan isi rumah.

“Dalam Belanjawan 2020, definisi pendapatan satu isi rumah golongan B40 ialah pendapatannya kurang RM4,000.

“(Tetapi) Belanjawan 2021, definisinya kita telah naikkan di mana golongan B40 ialah pendapatannya RM5,000 sebulan untuk satu isi rumah,” jelas beliau.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!