Bulan dalam Pelan Pemulihan Negara hanya panduan kasar

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan menjelaskan bahawa bulan yang digariskan dalam fasa Pelan Pemulihan Negara hanyalah satu panduan kasar.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, indikator utama adalah nilai-nilai ambang yang telah ditetapkan.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, Pelan Pemulihan Negara melibatkan peralihan dari satu fasa kepada fasa yang seterusnya berdasarkan kepada pencapaian nilai ambang tertentu.

“Namun begitu, jangka masa fasa ini adalah berdasarkan pencapaian nilai ambang bagi setiap fasa seiring dengan pencapaian pelaksanaan vaksinasi,” katanya menerusi sidang akhbar khas bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara maya pada Ahad.

Kerajaan sebelum ini dilapor mewujudkan Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi untuk keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 yang melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peralihan itu menggariskan empat fasa dengan tiga indikator utama.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menjelaskan, fasa satu adalah fasa PKP menyeluruh yang sedang berkuatkuasa dan telah dilanjutkan sehingga hujung Jun ini.

“Dianggarkan kerugian ekonomi semasa fasa satu ialah sebanyak RM1 bilion sehari.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan tidak mampu menanggung PKP penuh untuk terlalu lama. Begitu juga rakyat terutama dari segi kehilangan pendapatan, kehilangan pekerjaan dan seterusnya untuk keperluan makanan,” katanya.

Jelas beliau, fasa kedua akan bermula setelah mencapai nilai ambang iaitu kes harian menurun di bawah 4,000 kes, tahap bagi pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) tidak lagi kritikal dan 10 peratus penduduk divaksinasi.

“Kita tak mahu membuka terlalu banyak dan terlalu cepat. Dengan itu, fasa dua masih merupakan PKP yang ketat dengan aktiviti sosial kekal tutup dan kawalan pergerakan dikuatkuasakan seperti fasa satu.

“Perbezaan utama di antara fasa satu dan fasa dua adalah membenarkan kapasiti fizikal meningkat dari 60 peratus kepada 80 peratus untuk sektor yang dibenarkan dan ditambah beberapa sektor kepada senarai positif yang dibenarkan beroperasi,” katanya.

Beliau berkata, peralihan ke fasa ketiga akan dibuat setelah mencapai tahap vaksinasi 40 peratus serta penggunaan ICU di tahap selamat dan kes harian Covid-19 di bawah 2,000 kes.

“Fasa tiga melibatkan pendekatan berubah daripada senarai positif aktiviti yang dibenarkan kepada senarai negatif aktiviti yang tidak dibenarkan.

“Contohnya, aktiviti berisiko tinggi yang melibatkan keramaian secara fizikal, penjarakan sosial atau penggunaan pelitup muka tidak dapat diamalkan.

“Namun demikian, aktiviti sosial dijangka akan dibuka secara beransur-ansur. Ini termasuk pembukaan sekolah dan kebenaran melawat atau ziarah rumah secara terhad,” katanya.

Tambahnya, peralihan daripada fasa tiga ke fasa empat iaitu fasa terakhir akan melibatkan pembukaan menyeluruh aktiviti sosial dan ekonomi setelah mencapai tahap vaksinasi sebanyak 60 peratus.

“Namun demikian, pembukaan tersebut masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat dan penjarakan sosial,” katanya.

Mengulas mengenai bantuan pula, Tengku Zafrul berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM16.7 bilion bantuan tunai secara langsung kepada rakyat untuk tahun ini dan pelbagai bantuan masih lagi dalam proses pelaksanaan.

“Baki peruntukan untuk tempoh Jun hingga Disember 2021 ialah sejumlah RM8.1 bilion. Ini termasuk Bantuan Prihatin Rakyat bernilai RM4.5 bilion serta bantuan bulanan kebajikan masyarakat bernilai RM1.25 bilion,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, inisiatif baharu kerajaan juga mendapat sambutan yang baik.

“Jaringan Prihatin yang dilancarkan pada Mei lalu di mana setakat ini sebanyak 1.7 juta telah diluluskan termasuk lebih 500,000 mendapat telefon pintar baharu.

“Di samping itu, program eBelia yang dilancarkan pada Jun telah memanfaatkan seramai 1.9 juta belia melalui kredit e-wallet bernilai RM150,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga sentiasa memastikan kelangsungan perniagaan dalam menangani Covid-19 dengan memperuntukkan bantuan tunai RM14.1 bilion kepada sektor perniagaan pada tahun ini.

“Bantuan belum berakhir. Satu juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro akan menerima Geran Khas Prihatin (GKP) pada hujung bulan Jun dan Julai.

“Peruntukan subsidi upah masih berbaki RM6 bilion yang disalurkan kerajaan untuk menjamin bayaran gaji kepada sebanyak 2.7 juta orang pekerja. Dengan kata lain, kerajaan menampung dan membayar gaji rakyat yang terkesan.

“Selaras dengan pembukaan secara beransur-ansur, tumpuan juga akan diberikan kepada program pinjaman mikro untuk PKS kecil memulakan semula perniagaannya,” katanya.

Selain bantuan langsung, katanya, kerajaan juga menyediakan bantuan tidak langsung dan subsidi yang diunjurkan mencecah RM15 bilion pada tahun ini berbanding dengan perbelanjaan hanya RM9 bilion pada tahun lalu.

“Antara inisiatif kerajaan termasuklah menetapkan harga siling runcit RON95 pada paras RM2.05 seliter dan subsidi pek satu kilogram (kg) minyak masak pada harga RM2.50.

“Secara keseluruhan, bagi bulan Januari hingga Mei, kerajaan telah menanggung perbelanjaan berjumlah RM4 bilion dari segi peruntukan subsidi untuk tahun 2021,” katanya.