ADUN pembangkang, kerajaan Selangor senada mahu DUN bersidang

Sidang DUN Selangor
Sidang DUN Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan (ADUN) kerajaan dan pembangkang di Selangor senada menyokong titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja - Raja Melayu supaya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat segera bersidang.

ADUN Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata, sidang DUN perlu diadakan segera kerana banyak isu dan masalah rakyat yang memerlukan perhatian dan tindakan.

"Pelbagai isu perlu dibincang ADUN bagi membantu penduduk Selangor yang terjejas dengan pelaksanaan PKP ketika ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

ADUN Balakong, Wong Siew Ki berkata, sidang DUN di Selangor tidak boleh tertangguh lagi hingga menyebabkan tiada jalan penyelesaian untuk rakyat di negeri ini.

“DUN perlu bersidang sebab banyak perkara perlu dibincangkan terutama dalam mendepani pandemik Covid-19 dan program vaksinasi di negeri Selangor.

“Andainya kadar vaksinasi di Selangor sudah mencecah 80 peratus, kita perlu fokus kepada usaha pemulihan ekonomi pula termasuk sektor pelancongan di negeri ini," ujar beliau.

Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, beliau menyokong penuh usaha pembukaan sidang DUN Selangor berikutan banyak isu membelenggu rakyat.

“Sebagai menjunjung titah Al-Sultan Abdullah, amat wajar DUN bersidang untuk membincangkan isu-isu rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat hari ini sangat tertekan apabila pendapatan terjejas, penularan Covid-19 pula tidak menunjukkan pengurangan, ditambah dengan ketiadaan bantuan i-Sinar, moratorium dan sebagainya seperti PKP sebelum ini.

“Kita berharap kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk memulihkan ekonomi negeri secara menyeluruh dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan Persekutuan apatah lagi Selangor sebagai sebuah negeri maju yang padat penduduk," katanya.

Istana Negara dalam satu kenyataan sebelum ini menyebut bahawa Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dilaporkan berkata, Seri Paduka bertitah, ini bagi membolehkan Ordinan Darurat 2021 dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Khamis lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau akan mengadakan perbincangan bersama Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berhubung pembukaan Sidang DUN secepat mungkin selaras dengan titah Al-Sultan Abdullah dan Raja-Raja Melayu pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: MB Selangor, Speaker bincang pembukaan Sidang DUN

Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin